World Women #QuranHour Dapat Sambutan Hangat

KUALA LUMPUR - Buat julung kalinya World Women #QuranHour yang berlangsung semalam telah berjaya menghimpunkan lebih 1,500 muslimah termasuk dari luar negara.

Bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, World Women #QuranHour mendapat sambutan dari segenap lapisan umur dan latar belakang yang bersama-sama mengalunkan bacaan al-Quran.

World Women #QuranHour turut mencipta sejarahnya tersendiri apabila kesemua peserta yang hadir  berjaya khatam al-Quran dalam tempoh satu jam program berlangsung.

Program yang  dibarakan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), sempena Sidang Kemuncak Wanita Islam Sedunia (Wise) 2016, bermula seawal jam 9 pagi.

Aturcara program dimulakan dengan sesi Tadabur al-Quran oleh Prof Madya Dr Fatimah Abdullah dari UIAM, diikuti Solidariti Wanita, di mana 24 surah dibaca oleh tetamu khas dan bacaan 30 juzuk Quran oleh peserta secara berkumpulan.

24 tetamu khas yang hadiri terdiri daripada ahli akademik, selebriti dan pelajar UIAM.

Antaranya Johan Qariah 2016, Nor Azrah Ayob, Perunding Vokal Siti Hajar Ismail, pensyarah UIAM Prof Madya Dr Che Amnah Bahari, isteri pengasas WUI, Dr Jamilah Yahya dan selebriti Aida Khalida dan Datuk Paduka Julie Sudiro.

World Women #QuranHour merupakan kesinambungan program berinteraksi dengan al-Quran melalui Rumah Ngaji, kelolaan WUI sejak 2013 yang juga lanjutan daripada program World #QuranHour yang diadakan 9 Zulhijjah lepas.

Program ini diakhiri dengan majlis penutupan Wise 2016 yang disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim.

Wise turut dirancakkan dengan pelbagai aktiviti menarik selama tiga hari bermula Jumaat lepas.

Antara pengisian Wise 2016 adalah Forum: Wanita dan Keusahawanan; Perjumpaan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Wanita Sedunia; #tilljannah: Muda dan Solehah; Festival Kebudayaan Wanita Muslimah Antarabangsa dan pameran antarabangsa.

Sumber: Sinar Harian