Ya Allah, Sembuhkanlah Adik Fakhrullah Dari Derita Ini...


ALOR SETAR - Hati ibu mana yang mampu menahan hiba melihat bayi yang dikandung sembilan bulan di dalam rahimnya diduga dengan penderitaan menghidap penyakit lebihan otak di luar kepala sejak lahir.

Namun kebimbangan itulah yang terpaksa ditelan oleh pasangan Firdaus Abdul Rahim yang berkerja sebagai pemandu lori, dan Hasida Ahmad yang tinggal di Flat Simpang Kuala di sini tentang bayi kesayangan mereka yang kini sudah berusia 5 bulan.

Bayi berkenaan, Mohd Fakhrullah Firdaus dilahirkan dengan lebihan otak diluar kepala ekoran tidak memiliki sebahagian dari tempurung kepalanya sejak lahir ke dunia.

Menurut Hasida yang merupakan suri rumah sepenuh masa, doktor terpaksa menasihatkan supaya tidak dilakukan pembedahan buat masa ini ekoran risiko yang tinggi terpaksa ditanggung dan amat merbahaya sekiranya berlaku pendarahan pada otak bayinya.

Jelasnya lagi, doktor yang memeriksa bayinya itu turut menjelaskan bahawa jangkitan kuman telah berlaku di bahagian otak Mohd Fakhrullah.

Hasida dan Mohd Fakhrullah hari ini diziarahi Pengerusi Biro Kebajikan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, dirumahnya bagi meredakan sedikit kebimbangan menerusi sokongan moral dan sedikit bantuan.

Syed Mohd Johan Rizal turut merayu kepada orang ramai supaya turut bersama-sama menunjukkan rasa prihatin pada nasib Mohd Fakhrullah dengan memanjatkan doa dan sokongan moral kepada pasangan yang hebat menerima ujian Allah SWT itu.

"Saya merayu mana-mana pihak, badan-badan amal atau mana-mana hospital pakar untuk turun melihat kes ini jika maih ada harapan untuk membantu sembuhkan anak ini.

"Jadi saya merayu pada orang ramai supaya kita sama-sama berdoa dan bantu-membantu dalam ujian ini," katanya.

Bagi mereka yang sudi menghulurkan bantuan kewangan, mereka boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan mereka ke akaun Maybank di nombor akaun 1520 5023 33296, di atas nama Hasida Ahmad. - Kedahnews.com