167 Pengemis Diselamatkan KPWKM Sejak Januari Hingga Jun 2016


PETALING JAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersama beberapa agensi telah menyelamatkan 167 pengemis kanak-kanak di seluruh negara dari Januari hingga Jun tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata daripada jumlah itu, 67 kanak-kanak merupakan warganegara Malaysia dan 100 merupakan warga asing, manakala 81 dari mereka adalah lelaki dan 86 perempuan.

"Operasi menyelamatkan kanak-kanak tersebut dijalankan oleh kementerian bersama pelbagai agensi termasuk pihak polis, imigresen dan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).

"Kesalahan ini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Hari Bertemu Pelanggan KPWKM di Tesco Mutiara Damansara, di sini semalam.

Justeru, Rohani menyeru ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka termasuk yang dihantar ke sekolah berasrama dan sekolah pondok. - Bernama