2017 ‘Tahun Ekonomi Internet’ Malaysia – Mohd Najib


PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan lima strategi pemangkin bagi menjadikan 2017 sebagai tahun Ekonomi Internet bagi Malaysia.

Mikrokosma fizikal, pembiayaan modal risiko, perhubungan, bakat dan rangka kerja kawal aturan, merupakan pemangkin penting dalam agenda terbabit, katanya.

“Revolusi digital sangat pantas, oleh itu kita mesti menerima pakai dan mengikut perubahan,” katanya pada penutupan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC Malaysia (ICM) ke-28 di sini semalam. Najib ialah Pengerusi ICM.

Najib berkata daripada lima pemangkin berkenaan, pewujudan pemangkin mikrokosma fizikal sangat penting.

“Ia merupakan kelompok atau hab digital komuniti di mana ekonomi Internet baharu, terutama syarikat tunas, syarikat yang sedang meningkat naik dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), berhubung, bertumpu, berkongsi dan mencetuskan idea,” katanya.

Najib berkata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Datuk Yasmin Mahmood jelas mendesak supaya hab digital ini diwujudkan bagi memenuhi keperluan syarikat yang ‘dilahirkan digital’. – BERNAMA