3 Anggota Polis Mengaku Tak Bersalah Main Judi Di Tempat Awam


PETALING JAYA – Tiga anggota polis dan dua lelaki lain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan bermain judi di tempat terbuka.

Koperal Jefri Husin, 52, Lans koperal Nasron Halik, 33, dan Konstabel Muhammad Faizi Musa, 29, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dituduh bermain judi daun terup bersama-sama penjaga tempat letak kereta Yahaya Yaakob, 47, dan warga Bangladesh Yousouf.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di kawasan letak kereta di Sungei Way, di sini pada 2.20 petang pada Rabu lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntuk hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Aifaa Che Abdullah mencadangkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh kecuali Yousouf.

Yousouf turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Nov depan bagi sebutan semula kes bagi Yahaya dan Yousouf, serta 18 Nov bagi kesemua anggota polis tersebut. – BERNAMA