30 Termometer Pecah Angkara Pelajar Nakal


TUMPAT - Sebanyak 30 termometer pecah menyebabkan berlakunya tumpahan raksa di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut, di sini.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Pegawai Bomba Kanan II Azlan Zainal berkata, sembilan anggota Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada 12.16 tengah hari.

Katanya, operasi pembersihan berlangsung setengah jam bagi memastikan makmal itu selamat untuk digunakan.

"Sebelum itu, hasil maklumat diterima daripada pihak sekolah mendapati termometer itu dipercayai sengaja dipecahkan beberapa pelajar sekolah berkenaan.

"Kejadian juga dipercayai berlaku dua hari lalu, namun baru disedari seorang guru sekolah terbabit apabila mahu menggunakan makmal, hari ini," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, Pengetua SMK Kampung Laut, Jamari Othman berkata, pihaknya sedang menyiasat perbuatan tidak bertanggungjawab itu sebelum tindakan disiplin diambil.

Katanya, lima pelajar yang terkena merkuri menerima rawatan di Klinik Kesihatan Sungai Pinang, namun sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sumber: myMetro