Lima beradik dari kiri: Aswad, Azli, Amir, Amri dan Muhammad Ariff. |
KUALA KETIL - Lima beradik yang berhasrat membina Maahad Al Iman Li Ulumil Quran di Kampung Pantai Cicar, di sini memerlukan dana berjumlah RM950,000 bagi menyiapkan infrastruktur sekolah berkenaan.
Pengetua sekolah, Maahad Al Iman, Amri Mohd Nason berkata, jumlah itu merangkumi pembinaan bangunan kelas dua tingkat, pejabat, surau, dewan, rumah guru, padang permainan dan rumah tamu.
Menurutnya, pihaknya meletakkan sasaran selama setahun untuk menyiapkan infrastruktur tersebut.
“Sebenarnya angka diperlukan mencecah jutaan, tetapi dengan kegawatan ekonomi hari ini kita tidak mahu meletakkan jumlah besar, buat permulaan pihak sekolah memohon sebanyak RM 950,000 sahaja.
“Kami amat mengharapkan bantuan segera dalam menyiapkan binaan ini, untuk pengambilan pelajar kita akan mula ambil pada hujung tahun hadapan,” katanya..
Hampir setahun buat keputusan
Amri berkata, idea membina sekolah berkenaan tercetus selepas pemilik yang mewakafkan tanah itu datang berjumpa dengannya hujung tahun lalu.
“Selepas selesai kuliah Subuh di sebuah masjid, pemilik tanah datang berjumpa dengan saya menyampaikan satu hasrat.
“Dia memaklumkan ingin mewakafkan sebidang tanah untuk dibangunkan sebagai sebuah sekolah agama dan menyerahkan amanah itu kepada saya ,” katanya.
Menurutnya, sedar ia merupakan amanah dan tanggungjawab besar, keputusan menerima pelawaan itu dibuat selepas hampir setahun.
“Dalam tempoh setahun itu saya berbincang dengan adik beradik bersama ibu ayah sebelum bertekad bersetuju menerima amanah itu pada Ogos baru-baru ini,” katanya yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik.
Dedah pengajian Sains, al-Quran
Penasihat Maahad Al Iman, Amir Mohd Nason yang juga abang sulung berkata, maahad berkenaan menekankan pengajian Hafazan Al-Quran, Bahasa Arab, Ilmu Turath yang dipelajari secara bersanad serta akademik.
Menurutnya, para pelajar juga akan didedahkan dengan pengajian Sains dan al-Quran.
“Bagi menambah nilai dalam pengajian al-Quran, kita akan masukkan juga pengajian Sains dan al-Quran yang sesuai untuk pelajar tingkatan lima serta enam,” katanya.
Adik keempat, Aswad Mohd Nason berkata, sekolah itu akan dibina di atas tapak yang dikelilingi tasik.
Menurutnya, idea menghasilkan suasana damai dan tenang itu bagi memberikan keselesaan kepada para pelajar.
“Sebuah jambatan akan dibina bagi menghubungkan laluan masuk ke dalam sekolah.
“Kita juga bercadang mendapatkan kayak untuk diletakkan di sekitar tasik,” katanya.
Manakala, pemilik tanah asal, Abdul Rahman Kaames berkata, tujuannya mewakafkan tanah seluas 15 hektar itu bagi mencari bekalan di akhirat.
“Bab ilmu agama kita tak berapa pandai, jadi dengan cara ini mudah-mudahan ada bekalan untuk bertemu ALLAH di akhirat,” katanya .
Adun, Evonsave lakukan kunjungan
Dalam pada itu, Adun Kuala Ketil, Md Zuki Yusof dan pihak Econsave Sungai Petani datang melakukan kunjungan ke tapak pembinaan pusat pengajian berkenaan.
Md Zuki berkata, hasrat mendirikan Maahad Al Iman adalah satu usaha yang perlu disokong.
Menurutnya, lokasi sekolah yang terletak di kawasan menarik sesuai dijadikan medan menimba ilmu kepada para pelajar.
“Saya percaya Maahad Al Iman mampu berdiri setanding dengan sekolah-sekolah lain,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, Econsave akan melakukan jualan amal barangan terpakai pada 3 Disember depan bagi membantu pembinaan sekolah tersebut.
Menurutnya, masyarakat yang mahu menyumbangkan barangan boleh menghubungi cawangan Evonsave Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani.
“Untuk jualan amal kita mengalu-alukan orang ramai menyumbang sama ada pakaian atau barangan terpakai.
“Diharap sedikit sebanyak dapat membantu menampung kos pembinaan,” katanya.
Untuk sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 5521 8951 5745 atas nama Maahad Al Iman Li Ulumil Quran atau hubungi Amir di talian 019-4587206, Amri 0134202206 dan Aswad, 0195137520.
Sumber: Sinar Harian