5 Bulan Merengkok Dipenjara, Tony Eusoff Akhirnya Bebas


BERITA pelakon terkenal, Tony Eusoff dijatuhkan hukuman penjara di Singapura atas kesalahannya memiliki dadah, pada Mac lalu pernah mengemparkan tanah air.

Setelah lima bulan berlalu, Tony atau nama sebenarnya Anthony Joseph Anak Hermas Rajiman, 38, akhirnya dibebaskan pada 1 Oktober lalu.

Tony dibebaskan lebih awal daripada tempoh yang dikenakan iaitu lapan bulan kerana dirinya berkelakuan baik.

Pada masa yang sama, Tony akui sepanjang ditempatkan di Penjara Admiralty West Singapura dia diselubungi rasa bersalah atas perbuatannya yang disifatkan sebagai dangkal.

“Lima bulan berada di penjara saya sering diselubungi rasa bersalah bukan sahaja terhadap keluarga dan rakan-rakan tetapi diri sendiri.

“Sehinggakan saya tidak tahu sama ada saya boleh maafkan diri sendiri atau pun tidak.

“Pun begitu di sebalik pergelutan dengan diri sendiri sebenarnya tempoh berada di penjara adalah satu proses untuk saya maafkan diri saya ini.

“Syukur selepas dibebaskan saya mula menerima hakikat dan perlu reda dengan apa yang berlaku dan memaafkan diri sendiri.

“Pengajaran paling besar yang saya dapat ialah kejadian itu membuatkan saya mempersoalkan kembali tentang diri sendiri dan melihat di mana silap dan kekurangan saya.

“Apa yang pasti saya serik ke penjara dan sangat bersyukur dengan peluang kedua diberikan Tuhan kepada saya,” katanya, memetik mStar.

Tony turut menyifatkan apa yang berlaku kepadanya mempunyai hikmah yang sebelum ini dia tidak sedar.

Aktor yang popular memegang watak P. Ramlee ini ditahan memiliki dadah di balai ketibaan bas Pihak Berkuasa Imigresen di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 12 Mac lepas.

Akhbar melaporkan Tony memiliki satu peket mengandungi tidak kurang daripada 4.56 gram bahan sayuran yang telah dianalisis dan didapati mengandungi kesan ganja. –Kedahnews.com