Ada Yang Harap Ehsan Tak Balik Ke Malaysia

BAPA kepada Ehsan, 6, yang kini menjalani latihan di Akademi Bola Sepak Manchester City di England tidak menolak kemungkinan anaknya akan pulang untuk bermain dengan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Rasidin Amri Amir yang berasal Batu Pahat, Johor berkata, Ehsan berkemungkinan menyertai skuad Harimau Selatan itu sekiranya berpeluang untuk bermain bersama-sama pasukan Johor pada masa depan.

Perkara itu dimaklumkan oleh laman Facebook rasmi Harimau Selatan, Johor Southern Tigers (JST) semalam.

Rata-rata netizen Malaysia bagaimanapun menyarankan Ehsan jangan pulang ke Malaysia sekiranya mahu bermain bola sepak, sebaliknya terus menimba ilmu dengan kelab di England.

“Jangan balik Malaysia la dik nanti bila adik dan besar kot-kot la Manchester City nak ambil adik main kat sana adik terima saja la. Nanti satu dunia boleh kenal Johor,” kata pemilik akaun Facebook, Khaimie Hakimie.

Abah Din pula berkata, bermain dengan Manchester City bukan bererti tidak sayangkan Malaysia, tetapi lebih kepada mengharumkan nama Malaysia.

Kata Marcus Garcia: “Nasihat buat adik Ehsan. Jangan balik Malaysia. Timba ilmu kat sana. Main kelab sana. Harumkan nama Johor. Peluang bermain akademi Eropah terbuka di sana. Kalau balik Malaysia, pastikan kelab anda JDT”

“Jangan balik nak. Berlatih bersungguh-sungguh. Besar nanti wakil England jer. Merasa juga main World Cup. Nak harapkan Malaysia entah bila tah,” kata Kencana Kaseh.

Media semalam melaporkan, Ehsan walaupun baru berusia enam tahun, seorang anak Johor kini sedang dibimbing Akademi Bola Sepak Manchester City, England.

Ehsan dilahirkan di Hospital St. Mary Manchester. Ibu bapanya bekerja dan tinggal di sana sejak 10 tahun lalu.

Bakatnya dikesan oleh pencari bakat kelab tersebut sewaktu beraksi dalam perlawanan bola sepak Sunday League untuk pasukan Timperley FC. –Kedahnews.com