ADAB - Usaha Transformasi Bolasepak Negeri Kedah


ALOR SETAR - Akademi Datuk Ahmad Basri (ADAB) merupakan satu inisiatif terbaik bagi menggilap bakat anak-anak muda yang berpotensi bagi melahirkan lebih ramai pemain bola sepak berkaliber yang bakal memantapkan arena bola sepak di negeri Kedah.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Hafiz Syed Mustafa berkata, usaha Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah itu wajar dipandang positif kerana kemahuan beliau meneruskan legasi Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil yang merupakan lagenda pembangunan bola sepak di negeri tersebut.

"Negeri Kedah juga merupakan negeri yang pertama telah memilih perjanjian persefahaman dengan Program Pembangunan Bolasepak Negara.

"Saya yakin bahawa semua kita anak-anak jati Kedah sama ada orang lama mahupun anak muda yang lahir selepasnya kenal dengan Allahyarham Datuk Ahmad Basri dan jasa beliau dalam pembangunan bola sepak di negeri kita.

"Allahyarham juga dianggap sebagai bapa pembangunan bolasepak negeri Kedah yang dulu begitu komited memajukan skuad Hijau Kuning. Jasa beliau tiada siapa yang menafikan sehingga lah lagu Hijau Kuning juga diciptanya sendiri.

"Pelbagai usaha telah dilakukan Allahyarham termasuk menyediakan insentif, infrastruktur dan kemudahan latihan buat pemain kita, betapa besar jasa dan pengorbanan arwah pada bola sepak Kedah kita kenang selamanya.

"Bagi mengenang jasa beliau itu, YAB Dato Seri Ahmad Bashah selaku Presiden KFA hari ini mengambil langkah sulung beliau dengan mewujudkan ADAB. Saya yakin dengan pengalaman beliau yang juga pernah berada dalam kepimpinan KFA,beliau serius membangunkan industri bola sepak di negeri ini," katanya kepada Kedahnews.com, di sini, hari ini.

Jelas Syed Hafiz lagi, ADAB yang kini menjalin kerjasama Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu bakal membuahkan hasil dan dijangka mampu menjadi "kilang" yang mengeluarkan pemain bola sepak yang berkualiti tinggi.

Selain itu, ia juga bakal menggilap potensi para pemain muda yang kemudian menjadikan Kedah sebagai hub utama menghasilkan pemain bola sepak bertaraf profesional dalam usaha mengembang dan membangunkan sukan no.1  di negeri Jelapang Padi itu.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa ADAB juga merupakan titik mula pembangunan bola sepak Kedah yang lebih teratur baik dari sudut kemudahan latihan, infrastruktur, kaedah rawatan pemain, pendedahan pengalaman dan motivasi bakat-bakat muda yang berpotensi.

Ia juga termasuk bakal memantapkan penampilan para pemain ke arah lebih profesional dan struktur industri bolasepak di sebelah utara tanahair.

"Akademi ini harus diambil peluang oleh anak-anak Kedah khususnya kerana modul yang diguna pakai di dalam program ini merupakan dari hasil kajian yang dibuat dari pelbagai negara maju di dalam industri bolasepak," katanya lagi.

Kata Syed Hafiz, sebahagian kemudahan dan infrastuktur bola sepak sememangnya telah diwujudkan oleh Allahyarham Ahmad Basri, dan kini Ahmad Bashah sedang berusaha mengoptimum dan menambahbaik segala usaha arwah demi kemajuan bola sepak di negeri itu.

Namun begitu, Syed Hafiz menjelaskan bahawa kewujudan ADAB juga boleh dianggap sebagai satu usaha KFA bagi memastikan skuad Helang Merah untuk terus bersaing hebat dengan pasukan-pasukan lain dalam kancah bola sepak negara.

Ditanya tentang pasukan Johor Darul Takzim (JDT) yang dilihat sebagai "kuasa besar" di kancah arena bola sepak negara,beliau optimis mengatakan pasukan Kedah mempunyai kelebihan dan sentuhan pemain muda dengan kemampuan yang tersendiri.

"Pasukan Kedah tidak terlalu bergantung harap kepada pemain luar, malah pemain-pemain negeri Kedah ini terdiri dari kebanyakannya adalah anak tempatan.

"Ini merupakan harapan YAB Presiden KFA yang sering melihat pembangunan sukan ini khususnya kepada anak muda negeri Kedah.

"Sebelum ini juga kita telah lama melahirkan pemain-pemain terkenal sehingga ramai yang telah terpilih ke untuk mewakili negara," ujar beliau.

Jelasnya, pendedahan kepada pemain-pemain muda dengan pencarian bakat-bakat baru ke seluruh pelusuk negeri juga akan menjadi salah satu daya tarikan untuk anak muda di Kedah mencungkil potensi di dalam industri sukan bolasepak yang dilihat dari segi nilai pasaran yang semakin meningkat hari demi hari.

"Untuk persaingan ekonomi hari ini, sukan ini merupakan sukan yang berprestig dan berprestasi tinggi. Perancangan esok,saya yakin dengan tertubuhnya ADAB ini sudah pasti satu lagi "platform" terbaik yang seharusnya diambil peluang oleh segenap lapisan," katanya. -Kedahnews.com