Air Pasang Besar: Jumlah Mangsa Masih Kekal 97 Di Kota Kuala Muda


SUNGAI PETANI - Jumlah mangsa banjir akibat fenomena air pasang besar di empat pusat pemindahan di Kota Kuala Muda dekat sini, hari ini, kekal 94 mangsa daripada 27 keluarga.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Lt. Muda Pertahanan Awam Azahar Ahmad berkata sehingga 9 pagi ini, mangsa dari Kampung Sungai Meriam yang berada di pusat pemindahan rumah pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Meriam, kekal 21 mangsa daripada enam keluarga.

"Sementara 29 mangsa daripada 12 keluarga dari Kampung Masjid, Kampung Hujung Matang dan Kampung Padang Salim, masih berada di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kuala," katanya kepada Bernama.

Katanya, sebanyak 20 mangsa daripada empat keluarga dari Kampung Paya pula, masih ditempatkan di pusat pemindahan dewan Kampung Paya.

"Pusat pemindahan dewan Masjid Haji Yusof Bukit Kecil, menempatkan sebanyak 24 mangsa daripada lima keluarga yang berasal dari Kampung Sungai Yu," katanya. - Bernama