Air Pasang Besar: Semua Pusat Pemindahan Di Kota Kuala Muda Ditutup

SUNGAI PETANI – Kesemua empat pusat pemindahan di Kota Kuala Muda di sini yang dibuka sejak 17 Okt lalu berikutan fenomena air pasang besar telah ditutup serentak kira-kira 10 pagi semalam.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Lt. Muda Pertahanan Awam, Azahar Ahmad berkata, berikutan itu kesemua 94 mangsa daripada 27 keluarga telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Kesemua mangsa ini telah berpindah sementara di rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Sungai Meriam, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kuala, Dewan Kampung Paya dan Dewan Masjid Haji Yusof Kecil.

“Pengumuman penutupan pusat pemindahan dibuat oleh Pengerusi Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kuala Muda merangkap Pegawai Daerah Kuala Muda,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan melibatkan beberapa agensi berkaitan banjir itu.

Sebelum ini, sebanyak 21 mangsa daripada enam keluarga dari Kampung Sungai Meriam ditempatkan di pusat pemindahan rumah pengerusi JKKK Sungai Meriam, dan 29 mangsa daripada 12 keluarga dari Kampung Masjid, Kampung Hujung Matang dan Kampung Padang Salim, ditempatkan di SK Seri Kuala.

Seramai 20 mangsa daripada empat keluarga dari Kampung Paya ditempatkan di pusat pemindahan dewan Kampung Paya manakala dewan Masjid Haji Yusof Bukit Kecil menempatkan 24 mangsa daripada lima keluarga dari Kampung Sungai Yu.

Keadaan cuaca di Kedah dilaporkan mendung, dengan sesekali hujan renyai dan keadaan ombak juga masih merbahaya kepada bot-bot kecil. – BERNAMA