Akan Segerakan Naik Taraf Helikopter Nuri - Hishamuddin

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menyegerakan proses penambahbaikan dan naik taraf helikopter Nuri bagi memastikan kesiapsiagaan aset milik ATM sentiasa berada pada tahap tertinggi dan selamat digunakan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ini bagi mengelakkan kejadian nahas helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung, Tawau di Sabah semalam, daripada berulang.

“Saya telah ingatkan kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan dan ATM sebelum ini bahawa tiada kompromi dalam soal keselamatan anggota dan kesiapsiagaan aset-aset ketenteraan kita.

“Saya juga bersetuju dan menyedari pandangan masyarakat bahawa helikopter Nuri telah lama digunakan iaitu sejak tahun 1967 dan wajar diganti dengan aset lebih baru,” katanya dalam kenyataan semalam.

Hishammuddin berkata penggantian helikopter Nuri merupakan satu proses berfasa dan perolehan pesawat EC 725 serta menaik taraf pesawat Nuri merupakan sebahagian dari proses meningkatupaya fleet helikopter TUDM.

Sehubungan itu, Hishammuddin mengarahkan Panglima Tentera Udara menyediakan dan memantau perkembangan pelan tindakan penambahbaikan helikopter terbabit agar ia dapat dilaksanakan segera mengikut perancangan.

“Saya akan mendapatkan taklimat khas daripada TUDM berhubung pelan tersebut sejurus pulang dari lawatan kerja luar negara pada minggu hadapan,” katanya.

Ujar beliau, kementeriannya sentiasa komited untuk memastikan aset-aset pertahanan negara sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan anggota untuk memelihara keselamatan dan kedaulatan negara tidak terjejas.

Kelmarin, sebuah helikopter Nuri TUDM mendarat cemas di atas bumbung dewan terbuka SMK Balung.

Insiden tersebut menyebabkan 22 orang cedera iaitu 13 anggota TUDM termasuk dua juruterbang dan seorang juruteknik, serta lapan pelajar dan seorang pekerja pembersihan. – BERNAMA