Akta Baru Bela Nasib Penghuni Rumah Warga Emas


PETALING JAYA - Pengendali pusat penjagaan warga emas yang menawarkan kemudahan serba kekurangan bakal berhadapan tindakan undang-undang baharu termasuk denda dan hukuman penjara kepada pesalah.

Akta Penjagaan Kesihatan Warga Emas yang dicadangkan bertujuan untuk meningkatkan standard penjagaan warga emas di Malaysia.

Setakat ini tiada undang-undang jelas mengenai perkara ini khususnya mengenai kebajikan golongan warga emas.

Penginapan yang sesak, penjaga tidak mencukupi dengan nisbah penghuni dan keadaan rumah yang tidak lengkap merupakan contoh kegagalan pengendali pusat jagaan warga emas di bawah akta baharu berkenaan.

Walau bagaimanapun, butiran akta yang dicadangkan itu masih diperhalusi sebelum ia boleh dibentangkan di Parlimen.

Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai berkata rang undang-undang mengenainya akan dibentangkan tahun depan.

"Akta baharu ini perlu diperkenalkan susulan Malaysia kini bakal berubah status sebagai sebuah negara maju dan selaras dengan piawaian negara lain di dunia.

"Undang-undang yang dicadangkan itu akan menetapkan norma-norma dan amalan untuk rumah warga emas dan rumah penjagaan untuk memastikan keadaan ianya mencapai standard," katanya kepada Sunday Star.

Dr Jeyaindran berkata pengendali juga perlu memohon lesen untuk menjalankan perkhidmatan mereka sama ada dalam kategori bantuan sepenuhnya, bantuan separuh atau tanpa bantuan.

"Kami akan memberi masa kepada pengusaha untuk mematuhi akta itu selepas ia dikuatkuasakan," katanya sambil menambah bahawa ia akan mengambil masa kira-kira satu hingga dua tahun.

Dilaporkan bahawa kementerian sedang merancang mengadakan suatu akta untuk menyeragamkan peraturan-peraturan ke atas pusat penjagaan warga emas.

Walaupun Akta Pusat Jagaan dan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta sudah sedia ada di negara ini, sesetengah butiran tidak disentuh khususnya membabitkan penjagaan jangka panjang.

Dr Jeyaindran berkata, undang-undang itu diperkenalkan sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk menangani keperluan warga tua di Malaysia pada tahun 2030, apabila mereka yang berusia 60 tahun ke atas akan membentuk lebih daripada 15% daripada penduduk.

"Kementerian juga membincangkan bagaimana untuk menjadikan tempat-tempat awam dan alam sekitar sesuai untuk penduduk yang semakin tua.

"Sebagai contoh, beberapa negara seperti Singapura telah melanjutkan masa berjalan untuk menyeberangi jalan supaya warga tua dapat sampai dengan selamat.

"Ia sesuai dengan orang umur, keupayaan mereka untuk bergerak lebih perlahan. Malaysia juga perlu mula menilai aspek itu," katanya sambil menambah bahawa laluan pejalan kaki di tepi jalan juga harus mesra warga emas.

Pengurus Besar My Aged Care Sdn Bhd, Dadhyanna Tan yang mengendalikan pusat jagaan warga tua menggesa kerajaan mendedahkan butiran lanjut mengenai undang-undang yang dicadangkan itu supaya mereka yang terlibat mempunyai lebih banyak masa untuk melakukan persediaan.

"Sebahagian besar dari kita masih tidak jelas mengenainya. Akta yang dicadangkan hendaklah didedahkan kepada pengusaha sedia ada. Bagi mereka yang boleh memenuhi keperluan yang dicadangkan perlu melakukannya serta-merta," katanya.

Presiden Majlis Kebangsaan Warga Emas, Datuk Dr Soon Ting Kueh berkata pihaknya bimbang dengan peruntukan-peruntukan tertentu dalam akta yang dicadangkan.

"Kebanyakan pusat jagaan pada masa ini hanya menyediakan tempat tinggal.

"Mereka tidak layak untuk didaftarkan di bawah akta ini," katanya.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ia adalah satu kemestian untuk menyediakan persekitaran yang mesra warga emas di pusat-pusat tersebut supaya mereka tidak tertekan.

"Kesesakan penghuni juga boleh membawa kepada penyebaran masalah kesihatan," katanya.

Sumber: mStar