Al-Quran Nikmat Tidak Ternilai Kepada Umat Islam


UMAT Islam seharusnya bersyukur kerana dianugerahkan Allah SWT dengan kitab suci al-Quran. Bukan hanya sebagai panduan hidup, malah mukjizat terbesar umat Islam ini juga menunjukkan jalan bagi mencapai kebahagiaan di akhirat.

Namun, kesyukuran itu tidak seharusnya hanya dilafazkan pada bibir, sebaliknya perlu meresap jauh ke dalam hati dan seterusnya dibuktikan dalam kehidupan seharian.

Firman Allah SWT dalam surah Yunus: 57 maksudnya:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhan kamu yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, serta menjadi hidayah (untuk keselamatan) dan sebagai rahmat bagi orang yang beriman.”
Sejajar itu, kita perlu terlebih dahulu bermuhasabah tentang sikap terhadap al-Quran dengan cara menilai sejauh manakah tahap keprihatinan terhadap kitab suci itu?

Ini kerana hidup bawah naungan dan pedoman al-Quran adalah kenikmatan terbesar. Buktinya, dengan kenikmatan itulah para sahabat, tabi’ dan tabiin serta generasi Islam sepanjang zaman mampu menikmati hidup di dunia dengan sangat bermakna dan penuh amal soleh.

Justeru, dalam usaha meneruskan kesinambungan hidup sedemikian, kita mestilah menuruti jejak golongan soleh terdahulu yang sentiasa dekat dan mesra dengan al-Quran.

Selain perlu meyakini kebenaran isi kandungan dan memahami tujuan diturunkan al-Quran, kita juga perlu menerima ajaran tersebut dengan hati terbuka serta mengakuinya sebagai mukjizat.

Dengan kata lain, al-Quran tidak seharusnya dianggap sebagai ungkapan untuk dilagukan sahaja, tetapi wajib diyakini, difahami dan diamalkan semua isi kandungannya.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Qamar: 17 bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah memudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran. Maka adakah terdapat orang yang mahu mengambil pengajaran (daripadanya)?.”
Ayat tersebut menjelaskan bahawa al-Quran mempunyai pelbagai pengajaran yang perlu dihayati semua umat Islam tanpa mengira tahap usia seseorang sama ada kanak-kanak, dewasa mahupun yang sudah lanjut usia. Tambahan pula hari ini, terdapat pelbagai kaedah dicipta bagi memudahkan pembelajaran al-Quran.

Justeru, kita tidak perlu malu dan segan belajar membaca al-Quran walaupun sudah lanjut usia atau sekadar belajar membaca surah tertentu untuk dijadikan amalan harian seperti surah Yasin, al-Mulk dan al-Waqiah.

Kita tidak seharusnya berputus asa dalam membaca al-Quran kerana Allah SWT akan memberi pahala yang besar sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim;
“Orang yang membaca al-Quran dan dia mahir membacanya, dia bersama dengan para Malaikat yang mulia dan orang yang membaca al-Quran dan merasa susah dan gagap maka dia akan mendapat dua pahala.”
Namun begitu, untuk membaca dan mempelajari al-Quran perlu mengikuti adab-adab yang ditetapkan. Ia sebagai penghormatan terhadap keagungan al-Quran serta ‘jambatan’ untuk mendekatkan diri dan menambah kemesraan terhadap al-Quran.

Bukan hanya membaca, orang yang mendengar bacaan al-Quran juga dijanjikan ganjaran pahala oleh Allah SWT seperti mana firman Allah SWT dalam surah al-A’raf: 204 bermaksud:
“Apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarkanlah baik-baik serta diam (dengan menumpukan fikiran) supaya kamu beroleh rahmat.”

Sumber: Utusan