Amal Politik Matang, Tidak Sertai Bersih 5 - Mursyidul Am PAS


ALOR SETAR - Senada dengan Presiden dan Ketua Penerangan PAS, Mursyidul Am PAS yang baru dilantik, Tuan Guru Ustaz Hashim Jasin menegaskan tiada keperluan bagi parti itu menyertai himpunan Bersih 5 yang dijangka berlangsung November ini.

Beliau berkata, PAS yang kini mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera, tidak sesuai untuk menyertai himpunan anjuran NGO yang diketuai oleh Maria Chin Abdullah itu berbanding sebelumnya.

"Itu suasana waktu itu (Bersih 1.0 dan Bersih 2.0), tapi suasana waktu sekarang ia berbeza.. Bila kita lahirkan budaya politik matang ini, kita tak mahu jatuhkan pemimpin...

"Kita minta dia ubah sistem, inilah yang kita sedang buat. Perancangan dan sebagainya.

"Sekarang kita ada cara kita (budaya politik matang dan sejahtera). Ini yang nak tunjuk kematangan berpolitik," tegas beliau ketika ditemubual media, di Kompleks PAS Perlis, di Kangar, hari ini.

Hashim turut meluahkan rasa kagum beliau terhadap kematangan politik yang diamalkan Barat dengan memberi contoh Presiden Amerika Syarikat (AS), Barrack Obama, yang memilih Hillary Clinton sebagai Setiausaha Negara AS, jawatan nombor 2 terpenting di negara kuasa besar itu.

"Saya kagum dengan barat. Presiden Obama lawan dengan Hillary Clinton untuk dapat jadi calon Demokrat waktu itu. Lawan lawan, Obama menang.

"Waktu Obama naik jadi Presiden, orang yang cuba rebut jawatan dia tu dilantik menjadi Setiausaha, orang nombor dua di AS.. Kita tak sampai lagi (berbudaya politik matang begitu)..," kata beliau lagi.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan parti-parti pembangkang supaya jangan sesekali meniru budaya "Arab Spring" di Timur Tengah hanya semata-mata untuk menggulingkan kerajaan sedia ada.

Abdul Hadi yang mengumpamakan "Arab Spring" bagaikan buah beracun sehingga meragut nyawa tanpa batas mengulas mengenai penganjuran Bersih 5 yang dilihat sebagai merugikan semua pihak di negara ini.

Presiden PAS itu tampil menegaskan pendirian itu sehari selepas Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan mengulangi pendirian PAS menolak Bersih 5.0 menambah, ‘Arab Spring’ diharapkan berbuah lazat tetapi realitinya hanya menghasilkan ulat dan racun. -Kedahnews.com