Sonny (dua, kiri) dan Mohd Rawi (empat, kanan) ketika hadir majlis sambutan ulang tahun pertama Aman Central. |
ALOR SETAR - Aman Central diiktiraf sebagai pembangunan sektor hartanah pertama di Kedah yang memenangi anugerah peringkat antarabangsa bagi tahun 2015/2016.
Pengarah Urusan Kumpulan Belleview, Datuk Sonny Ho berkata, Aman Central berjaya mengalahkan senarai hartanah lain dari rantau Asia Pasifik termasuk Hong Kong dan Singapura.
“Aman Central berjaya memenangi anugerah, Highly Commended Asia Pacific Property Award bagi kategori Pembangunan Runcit Malaysia, di Anugerah Hartanah Antarabangsa 2015/2016 anjuran sebuah organisasi dari United Kingdom, yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini,” katanya, selepas majlis sambutan ulang tahun pertama Aman Central, disempurnakan Exco Pelancongan, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid.
Menurutnya, pengiktirafan ini adalah atas komitmen semua pihak yang menjayakan pembinaan kompleks beli belah ini yang dibangunkan atas tapak seluas 1.25 juta kaki persegi.
Sonny berkata, sejak Aman Central dibuka pada 1 Oktober 2015, jumlah pengunjung mencecah lebih 12 juta, dengan purata sejuta pengunjung sebulan.
“Pada musim perayaan, pengunjung meningkat sehingga 1.2 juta terutama ketika hari raya dan Tahun Baharu Cina,” katanya.
Bagi menghargai pengunjung sempena ulang tahun pertama, pengunjung berpeluang membawa pulang sebuah kereta Volkswagen Beetle sebagai hadiah utama, selain hadiah iringan bernilai RM150,000.
“Semua boleh sertai peraduan yang berakhir 5 Februari depan, dengan hanya berbelanja RM100 (maksimum dua resit) dari mana-mana 'outlet' di Aman Central. Bagi pembeli Kondominium Amansuri Residences, mereka layak memperoleh 20 penyertaan,” katanya.
Menurutnya lagi, hadiah menarik lain termasuk jam tangan Longines, kerusi urut Gintell serta barangan Parkson.
Sonny berkata, pihaknya turut membawa kelainan untuk sambutan perayaan utama bersama rakyat Kedah dan tarikan terbaharu sempena Krismas adalah dengan membawa konsep salji.
“Pengalaman bermain salji akan anda alami di Aman Central, November ini. Konsep yang dibawa adalah rumah kolonial Eropah dihiasi salji yang sedang turun. Konsep berbeza mengikut perayaan akan menjadikan aktiviti membeli belah lebih menarik,” katanya.
Mengulas mengenai pembangunan akan datang, Belleview bakal membangunkan sebuah lagi kompleks membeli belah terbesar di Wilayah Utara di Prai, Pulau Pinang yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Kita juga mempunyai perancangan baharu di Kedah, yang akan diumumkan selepas perbincangan selesai,” katanya.
Sementara Mohd Rawi berkata, Aman Central merupakan produk pelancongan Kedah yang berjaya mengubah landskap Bandaraya Alor Setar.
“Kompleks ini mengubah sektor hartanah dan pelancongan Kedah dan setaraf dengan kompleks beli belah di Kuala Lumpur dan Bangkok. Saya harap akan ada pembangunan lanjutan hartanah ini daripada pemaju untuk bina lebih banyak hotel, kondominium atau produk pelancongan berkaitan,” katanya.
Tambahnya, sekiranya keseluruhan konsep berjaya dibina, pihaknya yakin ia akan memberi impak besar terhadap sektor pelancongan dan pembangunan negeri.
“Aman Central turut dimasukkan sebagai lokasi persinggahan peta agensi pelancongan dalam mahupun luar negara. Terima kasih kepada pencetus idea, bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang beri komitmen tinggi memastikan bangunan indah ini tersergam menggantikan Kompleks Plaza Tunku Yaacob yang terbengkalai,” katanya.
Sumber: Sinar Harian