Sering dipandang remeh, namun ramai tidak menyedari contoh situasi yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat di negara ini termasuk umat Islam itu hakikatnya mengundang dosa secara berterusan antara keluarga dan anak angkat tersebut.
Walaupun dibesarkan sejak kecil dan dianggap seperti keluarga, pendakwah bebas, Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir bagaimanapun berkata, status anak angkat tidak menghalalkan sebarang persentuhan dan batasan aurat antara seorang lelaki serta wanita disebabkan tiada sebarang ikatan mengikut syarak.
“Pengambilan anak angkat adalah perkara biasa bagi pasangan suami isteri sama ada yang tidak dikurniakan zuriat atau sebab tertentu di negara ini. Isunya adalah adakah semua anak angkat yang ingin disantuni seperti anak kandung itu berumur bawah dua tahun?
“Permasalahan timbul apabila anak angkat yang diambil itu berumur contohnya tiga atau enam tahun apabila telah baligh atau menjadi anak lelaki atau wanita dewasa, maka terjadi masalah mahram antara keluarga dengan anak angkat tadi.
“Hukum bagi bukan mahram adalah mereka tidak boleh bersentuhan, tidak boleh berdua-duaan, batasan aurat perlu dijaga. Malah, pastinya ibu bapa angkat itu apabila sudah tua atau sakit mengharapkan anak itu yang menjaga mereka. Apabila batasan ini berlaku ini akan menimbulkan kesukaran,” katanya.
Contoh senario
PELBAGAI usaha dilakukan, sama ada rawatan moden atau alternatif semuanya dicuba. Namun, penantian Razak untuk mendapatkan zuriat hasil perkahwinannya sejak lima tahun lalu bersama Ida tidak menunjukkan hasilnya.
Rakan-rakan sebaya dan satu pejabat dengannya yang berkahwin semuanya sudah mempunyai anak. Sesekali bercerita dan melihat orang lain bermain sambil melayani telatah anak, mula menimbulkan rasa cemburu berserta sedih dalam hati kecilnya.
Tidak habis di situ apabila pulang ke kampung, pertanyaan “bila nak ada anak?” menambahkan kesedihan sekali gus meningkatkan keinginan Razak untuk mempunyai anak sebagai pewaris keturunannya.
Akhirnya, setelah berbincang, Razak dan Ida sepakat untuk mengambil anak angkat.
Setelah segala proses berjaya dilakukan, kanak-kanak lelaki berusia empat tahun didokumentasikan sebagai anak angkat kepada pasangan itu untuk dibesarkan sebagai sebahagian daripada keluarga mereka.
Lebih lapan tahun hidup bersama, segalanya berjalan lancar sehinggalah apabila anak angkat itu mula memasuki umur baligh. Dianggap seperti keluarga sendiri, kebiasaan anak yang dididik dengan kasih sayang dan norma agama akan bersalaman serta mencium tangan ibunya apabila ingin keluar daripada rumah.
Begitu juga, rutin seorang ibu yang selesa tidak bertudung ketika di rumah seperti kelaziman seorang wanita lain kerana menganggap tiada masalah bersama keluarga sendiri.
Perincikan semula kaedah
Sehubungan itu, tambah Mohammad Nidzam, timbul keperluan bagi pihak bertanggungjawab untuk mengkaji semula permasalahan yang berlaku dalam menetapkan hukum bagi penyusuan dewasa atau melebihi dua tahun agar dapat dikemas kini.
Ia katanya, bagi mengelakkan kesukaran dan dosa berterusan antara kanak-kanak bersama keluarga angkatnya itu iaitu menerusi kaedah penyusuan, sekali gus menghalalkan persentuhan dan batasan aurat.
Beliau berkata, keperluan itu disandarkan kepada peristiwa seorang sahabat perempuan pada zaman Rasulullah SAW yang bernama Sahlah Binti Suhail yang mengambil anak angkat bernama Salim.
Terdapat sebuah hadis sahih;
“Daripada Aisyah r.a. berkata: Sahlah binti Suhail datang kepada Nabi, dia berkata, “Rasulullah, aku melihat wajah Abu Hudzaefah berubah saat Salim masuk kepadaku.” Nabi bersabda, “Susuilah dia.” Sahlah berkata, “Bagaimana aku menyusuinya sementara dia sudah dewasa?” Rasulullah tersenyum dan bersabda, “Aku tahu dia sudah dewasa.” - Riwayat Muslim.
“Apabila Salim sudah besar, mereka menjadi bukan mahram kepada Sahlah apabila keadaan itu berlaku, kehidupan keluarga ini mula terbatas. Apabila Salim masuk ke rumah, Sahlah perlu menutup aurat dengan sempurna. Perkara ini diadukan kepada Nabi, lalu nabi mengarahkan Sahlal untuk menyusukan Salim.
“Di sinilah menjadi asas konsep penyusuan dewasa supaya anak angkat menjadi ibu susu untuk menjadikannya mahram. Tetapi hadis ini tidak dipegang oleh majoriti ulama, kerana mereka berpegang kepada nas yang lain jadi hadis ini dikategorikan sebagai khusus untuk keadaan itu sahaja,” jelasnya.
BUKAN PENYUSUAN SECARA TERUS
Tidak semestinya melalui penyusuan terus, Mohammad Nidzam berkata, sebahagian ulama berpendapat, Sahlah tidak menyusui Salim secara langsung tetapi memerah air susunya ke dalam bekas sebelum diberikan kepada Salim untuk minum.
“Ini yang memerlukan majlis fatwa negeri dan Muzakarah Fatwa Kebangsaan menentukan tempoh lanjutan penyusuan dewasa tersebut. Jika melihat kisah Salim tadi, tidak dinyatakan berapa umur dia ketika itu, mungkin tujuh atau 10 tahun.
“Jika ada garis panduan khusus daripada majlis fatwa dapat memudahkan proses pengambilan anak angkat, dalam masa sama menjadikan kanak-kanak itu sebagai anak susuan. Pastinya menjadikan hubungan itu lebih baik, tiada lagi masalah untuk bersentuhan atau membuka aurat.
“Konsep ini dinamakan sebagai tarjih (memilih untuk menerima pakai) contohnya Tabung Haji mentarjihkan bersentuhan lelaki dan wanita ketika tawaf di Kaabah tidak batal wuduk mengikut pendapat mazhab lain, kerana keperluan mendesak,” ujarnya.
Wujudkan kad, sijil penyusuan
SEBAGAIMANA hubungan kekeluargaan terbentuk daripada keturunan (nasab), status keluarga yang terjalin melalui penyusuan (radha’) turut mengharamkan segala batasan dalam sebuah institusi keluarga seperti berkahwin.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yang dipetik daripada laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Bayan Linnas menerangkan, Islam merupakan agama mementingkan soal keturunan, justeru kewujudan sesuatu yang boleh menyebabkan percampuran keturunan adalah diharamkan.
Perkara itu, juga jelas beliau, merujuk kepada cadangan untuk menubuhkan bank susu yang merupakan institusi bagi mengumpulkan susu ibu untuk diberikan kepada bayi sama ada bersebab atau tidak.
“Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 membincangkan mengenai Hukum Penubuhan Bank Susu bahawa menjaga keturunan adalah termasuk dalam lima perkara wajib dipelihara dalam syariat Islam. Oleh itu, apa-apa tindakan atau perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada nasab atau keturunan perlu dielakkan.
“Muzakarah juga berpandangan bahawa hukum penubuhan bank susu amat berkait rapat dengan syarat-syarat pengharaman atas sebab susuan iaitu bayi yang menyusu dengan seorang wanita atau lebih daripada seorang wanita akan menjadi adik beradik susuan dan perkahwinan antara mereka adalah haram apabila memenuhi syarat-syarat ditetapkan,” katanya.
Bagaimanapun, Zulkifli berkata, walaupun kebanyakan ulama bersetuju haram menubuhkan bank susu kerana beberapa sebab yang dinyatakan tetapi jika sampai kepada keperluan yang mendesak seperti membabitkan kes kematian ibu atau boleh mendatangkan mudarat kepada bayi, maka diharuskan.
Justeru, beliau mencadangkan, Majlis Agama Islam Negeri, atau Jabatan Agama Islam Negeri dan hospital dapat bekerjasama untuk mengumpulkan data ibu yang memberi susu kepada bayi selain kepada anaknya supaya didaftarkan.
“Seterusnya dapat disediakan kad atau sijil sabitan penyusuan untuk masa depan anak tersebut agar tidak berlaku kecelaruan nasab dan perkahwinan dengan susuannya atau orang yang diharamkan kahwin dengan sebab susuan.
“Begitu juga, setiap penderma susu hendaklah ditulis pada botol nama ibu yang menyumbangkan. Jumlah bilangan lima kali kenyang akan mensabitkan hubungan anak dan ibu susuan tersebut mengikut pendapat masyhur dan muktamad,” ujarnya.
Sumber: Utusan