Anggaran Lebih 7,000 Sertai PPBM Di Kedah


ALOR SETAR - Dianggarkan seramai lebih dari 7,000 ahli telah terkumpul menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di seluruh negeri Kedah sejak parti itu ditubuhkan pada awal September lalu.

Melalui sumber-sumber rapat parti berkenaan di sekitar negeri berkenaan, hampir 70 peratus dari jumlah keseluruhan ahli yang menyertai parti tersebut adalah di kalangan generasi muda.

Penyelaras Keahlian PPBM bagi di Parlimen Alor Setar, Abu Osman Awang sebelum ini menjelaskan beliau telah menerima hampir 2,000 borang penyertaan dari sekitar kawasan seliaannya itu.

"Sehingga hari ini, kita ada lebih dari 2,000 ahli yang mendaftar di parlimen Alor Setar. Kita fokus keahlian saja dulu. PRU ke-14 kita serah pada pucuk pimpinan parti," kata Abu Osman ketika ditemubual sebelum ini.

Sementara itu, satu sumber yang enggan dikenali menjelaskan bahawa 70 peratus penyertaan PPBM di Kedah adalah terdiri dari golongan muda.

"Boleh saya katakan hampir 70 peratus ahli kita dapat adalah dari golongan anak muda di Kedah," katanya.

Menurut sumber di Langkawi pula, dilaporkan parti itu telah mengutip lebih dari 1,500 ahli yang menyertai parti baru itu.

Walau bagaimanapun, Ketua Penyelaras PPBM Negeri, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid ketika dihubungi semalam enggan mendedahkan jumlah sebenar ahli PPBM di seluruh negeri Kedah ekoran bimbang disabotaj pihak tertentu.

 "(Jumlah) keahlian (ahli PPBM di Kedah) itu rahsia, saya tak boleh nak beritahu. Yang itu kita tak dedahkan, satgi (nanti) depa sabotaj nanti.

"Saya pun tak mahu dedahkan apa-apa, bahaya.. bahaya," jegas beliau.

PPBM rasmi diluluskan sebagai parti politik baru di negara ini setelah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menyerahkan sijil kelulusan pendaftaran kepada Presiden Penaja PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 9 September lalu. - Kedahnews.com