KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis cedera pada tapak tangan ketika bergelut dengan seorang pendatang tanpa izin (Pati) Myanmar yang cuba merempuh kawalan polis untuk melarikan diri dalam Op Nyah 2 di Jalan Klang Lama di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata lelaki itu diberkas manakala anggota yang cedera itu mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.
Dalam operasi dari 5 petang semalam hingga 4.30 pagi tadi, 49 Pati ditahan sebab pelbagai kesalahan di kawasan Plaza Low Yatt, Jalan Klang Lama, Jalan Haji Hussein, Jalan Raja Alang, Kampung Baru dan Chow Kit, katanya.
“Seramai 196 warga asing diperiksa dan 49 daripadanya ditahan termasuk enam wanita kesemuanya warga Indonesia.
“Baki yang ditahan adalah 43 lelaki daripada Myanmar (13), Bangladesh (12), Indonesia (lapan), Senegal (tiga), Pakistan dan Nigeria (masing-masing dua) dan India, Yaman dan Nepal masing-masing seorang,” kata Amar Singh.
Katanya tindakan akan diambil mengikut antara lain Akta Imigresen 1959/63, Akta Passport 1966 dan Akta Pemerdagangan Orang 2012. – BERNAMA