Anjur Kelas Mengaji Al-Quran Di Gelanggang Futsal

Antara peserta yang menyertai Kelas Mempelajari Teknik Cordobana di Swiss Inn Sungai Petani
SUNGAI PETANI - Kelas Mengaji Cordobana D’Futsal Centre dekat Kangar, Perlis pada Isnin ini bakal menjadi sejarah apabila menjadi lokasi pertama kelas mengaji menggunakan teknik itu berlangsung di gelanggang futsal.

Pengerusi Masjid Al-Ghufran , Ramli Jusoh berkata, penganjuran di lokasi terbabit kemungkinan menjadi tanda tanya namun pendekatan itu sebenarnya memberi peluang masyarakat merasai keterujaan menyertai kelas berkenaan di samping pendedahan kepada pemain futsal bahawasanya mengaji al-Quran boleh dilakukan di mana-mana sahaja.

Menurutnya, objektif utama ialah untuk memberi ruang yang lebih selesa kepada anak kariah memandangkan ruang sedia ada di masjid tidak mampu memuatkan sejumlah peserta kerana masih dalam penambahbaikan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Akademi Cordobana Malaysia, Azam Aris berkata, buat julung kalinya kelas mempelajari teknik Cordobana dianjurkan secara terbuka di gelanggang futsal dengan harapan mampu menarik minat lebih ramai generasi muda dan pencinta sukan futsal.

Menurutnya, setakat ini, lebih 20 peserta berdaftar untuk menyertainya namun kita masih membuka peluang mana-mana individu yang berminat untuk turut serta.

“Inilah kelainan yang kita bawakan khas buat orang Perlis kerana ia juga merupakan kelas mempelajari teknik Cordobana pertama di negeri Perlis hingga 26 Oktober nanti.

“Kita tak mahu mereka fikir bahawa bila nak baca Al-Quran ataupun nak solat, mesti kena ada surau atau masjid, tetapi kini tanggapan begitu sudah tiada.

“Ia mampu membuka mata lebih ramai pihak agar mendalami Al-Quran adalah sesuatu yang menyenangkan,” katanya ketika hadir ke program sama yang berlangsung di Swiss Inn, Sungai Petani, bermula semalam hingga 23 Oktober nanti.

Menurut Azam, program di Perlis mendapat sokongan daripada Majlis Agama Islam Negeri Perlis.

Salah seorang peserta, Farida Abdullah, 56, berkata, walaupun datang jauh dari Kuala Lumpur, beliau tidak melepaskan peluang mempelajari teknik berkenaan ketika ia berlangsung di Sungai Petani.

“Saya datang dari jauh semata-mata nak belajar teknik Cordobana dan teknik Cordobana ini sangat menyeronokkan, tidak bosan dan mudah.

Bagi mereka yang berminat untuk menyertai program ini, sebarang pertanyaan atau pendaftaran boleh dihubungi menerusi talian 019-2165175.

Sumber: Sinar Harian