Apakah Kita Praktikkan Ukhuwah Yang Islam Ajar?


HATI tersentuh dengan kejadian seorang pemuda bermotosikal diserang beberapa orang lain hanya kerana memakai baju berlainan warna, baru-baru ini. Mereka juga dikatakan membaling telur ayam ketika dia melintasi jalan masuk ke kawasan kumpulan itu.

Hanya kerana perbezaan pandangan, mereka sanggup me­nyerang individu terbabit. Jelas sikap yang tidak matang ini tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan pun kepada mana-mana pihak.

Perbezaan pandangan sepatutnya diurus dengan cara yang lebih matang dalam negara yang mengamalkan demokrasi dan mempunyai undang-undang ini. Bukan­nya dengan cara menyerang dan melakukan kekasaran dan keganasan sehingga mengakibatkan kecederaan.

Apakah yang sedang berlegar di fikiran mereka sewaktu melakukan perbuatan yang memalukan itu? Di sini timbulnya persoalan, ke manakah hilangnya sifat ukhuwah atau persaudaraan yang sepatutnya dimiliki oleh orang Islam?

Perbuatan yang dilakukan ini langsung tidak mencerminkan peribadi seorang Muslim yang diperintahkan agar bersatu dan tidak berpecah belah atau bermusuhan.

Kata ukhuwah berasal dari bahasa Arab yang kata dasarnya adalah akh yang bererti saudara, sementara kata ukhuwah bererti persaudaraan.

Secara istilah ukhuwah Islamiyyah adalah kekuatan iman yang dikurniakan Allah kepada hamba-Nya yang beriman dan bertakwa yang menumbuhkan rasa kasih sayang, persaudaraan, kemuliaan dan rasa saling percaya terhadap saudara seakidah.

Dengan berukhuwah akan timbul sikap saling menolong, saling pengertian dan tidak menzalimi harta mahupun kehormatan orang lain.

Dalam Surah Al-Hujurat:10, maksudnya;
“Sesungguh­nya orang Mukmin adalah bersaudara. Oleh itu, damaikanlah kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat”.
Ukhuwah Islamiyyah seharusnya menjadi kekuatan dalam hidup beragama, sehingga menjadi sebuah suasana menyejukkan, bukan yang menebar kebencian. Dan dalam sebuah hadis:
“Perumpamaan kaum mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, seumpama tubuh, jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam.” (Riwayat Muslim)
Persaudaraan itu semestinya dibuktikan dan bukan ­teori semata-mata. Seorang mukmin harus merasakan pen­deritaan saudaranya, seperti yang dialami oleh mereka di Palestin dan Syria. Menyumbang setakat mana yang mampu serta sentiasa mendoakan keselamatan mereka.

Jika saudaranya mendapat kebahagiaan maka dia pun turut rasa bahagia dan tidak boleh dengki kepadanya. Demikian pula jika saudaranya menerima musibah dan ujian, dia harus turut merasa prihatin dan sedih. Begitu juga jika saudaranya memerlukan pertolongan, maka haruslah dia memberikan pertolongan yang termampu, itulah nilai dari sebuah persaudaraan.

Namun demikian perkara sebaliknya berlaku pada hari ini; seorang Islam tidak ambil peduli dengan apa yang menimpa saudaranya. Sifat kasih sayang dan mengambil berat yang sepatutnya dimiliki sesama Islam sudah lama pudar.

Mengeratkan persaudaraan, bersatu padu dan tidak berpecah belah mampu menegakkan dan menjadikan agama Islam kuat. Sebaliknya, jika permusuhan dan kebencian berleluasa, Islam akan menjadi lemah dan umatnya tiada suara di pentas antarabangsa.

Maka itu yang terjadi di dunia sekarang di mana Islam ialah umat yang lemah, ditindas, dizalimi serta dilanda kemiskinan.

Amat malang sekali jika seorang itu mengharapkan belas kasihan dari Allah SWT tetapi tidak peduli terhadap kesejahteraan saudara seagamanya. Apatah lagi apabila dia sengaja menyerang saudaranya dengan niat untuk mencederakan.

Pada ketika itu, tiada gunanya lagi dia menegakkan benang basah dengan pelbagai alasan mempertahankan tindakannya melakukan keganasan itu. Apa saja yang keluar dari mulut orang sebegini tidak boleh dipercayai kerana yang jelas dia memperalatkan agama untuk kepentingannya dirinya sendiri.

*MASTURA MOHD . ZAIN/PENULIS ialah Pegawai Penyelidik di Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)/Utusan