APM Kuala Muda Siap Siaga Fenomena Air Pasang Besar


ALOR SETAR – Sebanyak 60 anggota pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Muda bersiap siaga menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku di daerah ini, hari ini.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Lt.Muda Pertahanan Awam Azahar Ahmad berkata pihaknya sudah mula melakukan pemantauan bermula hari ini selain melakukan latihan simulasi bersama agensi keselamatan yang lain.

Fenomena itu kali ini, katanya dijangka turut menjejaskan lebih 1,000 penduduk dari Kampung Sungai Yu, Kampung Sungai Meriam, Kampung Paya, Kampung Ujung Matan, Kampung Padang Salim, Kampung Masjid, Kampung Baru Pulau Sayak dan Kampung Sungai Pial di Tanjung Dawai.

Jangkaan bacaan ketinggian ombak bermula esok sehingga 20 Okt ini berada dalam lingkungan 2.8 hingga 3 meter, katanya kepada Bernama di sini semalam.

Katanya Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam-Komuniti turut diaktifkan yang terdiri daripada 60 orang termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Penghulu dan penduduk kampung.

“Pasukan ini juga akan turut membantu memberi bantuan kecemasan kepada mangsa apabila berlaku fenomena air pasang besar atau bencana alam lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Mohd Razmi Abd Rashid berkata sejumlah 27 pegawai dan anggota bersiap sedia untuk memantau keadaan di kawasan yang dijangka terlibat iaitu di sepanjang pesisir pantai di Kota Kuala Muda.

“Malah kita turut meletakkan sebuah jentera bomba dalam keadaan bersedia di sana (Kota Kuala Muda) bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku,” katanya. – BERNAMA