BANGKOK – Ini mungkin kisah lama yang biasa kita dengar semasa kecil, tentang seekor kura-kura dan arnab berlumba lari, namun kali ini ia terbukti bukan sekadar cerita dongeng.
Nampaknya kura-kura, meskipun diketahui sejak zaman dahulu lagi memang bergerak jauh lebih perlahan berbanding arnab, tetap akhirnya ia juga yang memenangi cabaran perlumbaan sengit tersebut.
Sekurang-kurangnya, itulah yang berlaku dalam satu perlumbaan antara seekor arnab dengan kura-kura yang dianjurkan oleh Nick Sina dan dirakam serta dimuat naik ke laman YouTube, lapor portal berita Metro.
Visual pertandingan itu dilaporkan dirakam di Thailand namun tidak pula dijelaskan bilakah dan di manakah acara perlumbaan tersebut berlangsung tetapi ia menerima banyak respons daripada netizen di seluruh dunia!
Seperti yang dapat disaksikan, si arnab mula melompat ke depan mendahului kura-kura pada awal perlumbaan, namun hampir di garisan penamat arnab itu tiba-tiba berhenti sambil meninjau-ninjau persekitarannya.
Dalam pada itu, kura-kura terus bergerak perlahan secara konsisten waima tuan punya arnab tersebut dapat dilihat cuba mengarahkan haiwan peliharaannya supaya segera mara ke garisan penamat tetapi tidak berjaya.
Dan pada akhirnya, si kura-kura itu disahkan secara rasmi dan muktamad sebagai pemenang perlumbaan tersebut. Ayuh kita saksikan rakaman penuh video berkenaan: -Kedahnews.com