Kanak-kanak asnaf dan yatim Teratak Nuhairi gembira berpeluang membonceng motosikal berkuasa tinggi pada Program Santai Kasih |
KULIM - Tidak lekang senyuman 21 anak yatim dan asnaf apabila dibawa berarak menaiki motosikal berkuasa tinggi pada Program Santai Kasih yang diadakan di Teratak Nuhairi, Sedim, baru-baru ini.
Pemilik Teratak Nuhairi, Jalaluddin Hamid berkata, hampir 20 motosikal berkuasa tinggi dari Melaka Bikers telah mengadakan kunjungan dan memberi peluang kepada kanak-kanak di sini untuk mencuba kenderaan tersebut.
“Memang mereka gembira bila berpeluang membonceng motosikal berkuasa tinggi sejauh lima kilometer secara berkonvoi ke Arus Deras Sungai Sedim.
“Peserta Melaka Bikers turut bersama kanak-kanak ini berekreasi, mandi dan menjelajah Tree Top Walk di Sedim selain menjamu selera bersama mereka,” katanya.
Katanya, kehadiran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pengunjung ke Teratak Nuhairi memberi motivasi dan pengalaman baharu kepada kanak-kanak ini.
“Mereka ini kadangkala terbiar dan mempunyai masalah keluarga, jadi peluang berjumpa orang ramai agak terbatas hingga mereka tidak memikirkan hala tuju hidup.
“Saya lihat kunjungan masyarakat luar membantu mereka berusaha dan membuka minda serta memberi motivasi untuk berjaya,” katanya.
Tambahnya, Teratak Nuhairi juga kini diiktiraf Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah sebagai rumah amal persendirian pertama orang Islam.
“Kita berharap dapat menambah baik aktiviti dan program supaya memberi manfaat kepada penghuni di sini,” katanya.
Selain itu, katanya, Teratak Nuhairi juga dalam usaha menyediakan kemudahan termasuk bilik asrama, pembelajaran dan prasarana yang baik untuk penghuninya.
“Kita mengalu-alukan pihak berminat memberi sumbangan dan membantu pembangunan Teratak Nuhairi,” katanya.
Sumber: Sinar Harian