Bagaimana Cara Membina Strategi Hijrah Diri Kita?

TAHUN 1437 Hijrah telah melabuhkan tirainya dan banyak pengalaman pahit dan manis dilalui. Justeru, marilah bermuhasabah sama ada kualiti amal ibadat dan keimanan kepada Allah SWT semakin bertambah atau sebaliknya.

Berubahnya bulan dan tahun bererti bertambahnya umur, iaitu semakin dekat dengan ajal kematian yang memisahkan kehidupan dunia fana dengan kehidupan akhirat yang kekal selamanya.

Ingatlah kepada satu pesanan Sayidina Ali K.W.:

“Apabila kamu merasa letih kerana melakukan kebaikan, maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang, sedangkan kebaikan yang telah dilakukan itu akan terus kekal. Sekiranya kamu berseronok dengan dosa, maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang, sedangkan dosa yang telah dilakukan itu terus kekal.”

Sempena tahun baharu Islam ia sebenarnya membuka peluang kepada seluruh umat Islam menghayati strategi terbaik Nabi Muhammad SAW mendirikan daulah Islamiah yang berjaya di bumi Madinah.

Peristiwa hijrah bukanlah suatu kebetulan, malah menyingkap perjuangan penuh kekuatan tanpa putus asa dan menyerah kalah. Bahkan hijrah menjadi garis pemisah antara kebenaran dan kebatilan.

Hijrah melahirkan umat yang pada awalnya dipandang lemah tetapi berjaya mendirikan daulah yang gagah. Peristiwa hijrah juga dapat menyempurnakan pelaksanaan syariah Islam bermula daripada individu, keluarga, masyarakat seterusnya negara.

SETIAP SESUATU PERLUKAN RANCANGAN

Membicarakan tentang hijrah Nabi SAW, maka ia bukan suatu usaha mudah. Hijrah memerlukan perancangan rapi bagi menghadapi cabaran masa hadapan. Allah memerintahkan kita agar bersiap sepenuhnya menghadapi musuh dengan segala rupa kekuatan seperti mana firman Allah dalam surah al-Anfal, ayat 60.
“Dan persiapkanlah dengan segala kemampuan untuk menghadapi mereka dengan kekuatan yang kamu miliki dan dirikan pasukan berkuda yang dapat menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang selain mereka yang kamu tidak ketahui; namun Allah Maha Mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu infakkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas cukup kepadamu dan kamu tidak akan dizalimi.”
Ayat tersebut memerintahkan umat Islam agar membuat perancangan pertahanan jangka panjang dengan mengambil kira perubahan dan kemajuan yang sedang dan akan berlaku dalam bidang ketenteraan serta teknologi persenjataan.

Lebih-lebih pada saat umat Islam menghadapi ancaman yang datangnya bukan sahaja dalam bidang ketenteraan, malah menjalar kepada bentuk ancaman lain termasuk budaya, pendidikan dan ekonomi.

Sejak bermulanya penghijrahan dari Mekah ke Madinah, Rasullullah SAW memang sudah yakin bahawa Allah akan melindungi dirinya. Namun baginda tidak pernah merasa terkecuali daripada kewajipan berikhtiar merancang perjalanan hijrah dengan sebaik-baiknya. Antaranya:

1. Perancangan rapi dan teliti
  • Baginda tidak tidur di biliknya pada malam itu, sebaliknya memerintahkan Sayidina Ali berada di tempat tidurnya dengan tujuan mengaburi musuh.
  • Baginda juga tidak terus berangkat ke Madinah yang berada di sebelah utara selepas keluar dari Mekah, sebaliknya menghala ke selatan dan berhenti di Gua Sur selama tiga hari.
  • Selepas tempoh tersebut, barulah baginda meneruskan perjalanannya ke Madinah iaitu ketika gerakan pihak Quraisy sudah mulai mengundur.

2. Sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkenaan pergerakan pihak musuh
  • Abdullah Bin Abu Bakar yang ditugaskan mengumpul maklumat di Mekah pada waktu siang dan pada malamnya melaporkan kepada baginda.
  • Segala maklumat terkini merupakan suatu yang amat bernilai. Hari ini kita dapat saksikan semakin canggihnya sistem perisikan yang bertujuan mendapatkan maklumat.
3. Kerahsiaan adalah suatu perancangan
  • Lihat sahaja bagaimana tiada seorang pun yang tahu termasuk teman karibnya seperti Sayidina Abu Bakar r.a hinggalah ke saat pelaksanaannya.
  • Menjaga kerahsiaan dalam hal-hal penting dan bahaya seperti itu, memang merupakan suatu keperluan yang dirancang rapi.
  • Kebocoran maklumat-maklumat penting hingga diketahui musuh mengakibatkan musnahnya seluruh perancangan.
4. Menggunakan sepenuhnya kepakaran
  • Seperkara yang menarik dalam misi hijrah Nabi SAW ialah mengambil khidmat seorang penunjuk jalan seorang lelaki Musyrik. Hal ini dilakukan baginda setelah berpuas hati bahawa dia tidak akan mengkhianati baginda.

Maal Hijrah -Hijrah Nabi

Perjalanan hijrah dengan segala liku dan rintangan jelas mengandungi hikmah budaya kerja berencana. Sesuatu cita-cita tidak mungkin dapat dijayakan dengan hanya berdoa dan penyerahan semata-mata, tetapi harus dilaksanakan dengan perancangan rapi.

Peristiwa hijrah bukanlah suatu kebetulan, tetapi menyingkap pelbagai rahsia perjuangan yang penuh kekuatan tanpa putus asa dan menyerah kalah.

Kecemerlangan dan keunggulan hanya dapat dicapai melalui penyuburan budaya kerja berencana dan pemikiran bernas.

Jauhi diri daripada bersifat malas. Gunakanlah segala kepakaran dan bersainglah secara sihat.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Anfal, ayat 30:
“Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir Musyrik (Mekah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.”
Sumber: Utusan