Bajet 2017: Harapan Exco Kerajaan Negeri Kedah


ALOR SETAR - Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Dr Leong Yong Kong yakin bahawa Bajet 2017 yang bakal dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, esok, akan membawa kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, berdasarkan belanjawan-belanjawan dan perlaksanaan perancangan bajet terdahulu, Kerajaan Barisan Nasional (BN) terbukti memberi kesan positif kepada pertumbuhan negara, khususnya dalam sektor ekonomi.

"Kita memang mempunyai tradisi yang baik dalam perbentangan bajet setiap tahun, berlandaskan rekod yang kita ada pada tahun-tahun lepas.

"Sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah dan sebagai seorang rakyat biasa pun, kita semua mengharapkan agar belanjawan kali ini bakal memberikan yang terbaik kepada negara dan seluruh rakyat di negara ini," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di pejabat Exco Kerajaan Negeri, Wisma Darul Aman, semalam.

Walau bagaimanapun, beliau mengharapkan agar bajet yang bakal dibentang kira-kira jam 4 petang esok akan memberikan penekanan terhadap agenda pemantapan ekonomi negara secara menyeluruh dan memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia.

"Kita memang perlu tumpukan perhatian kita supaya kita dapat memperkukuhkan ekonomi kita melalui bajet ini.

"Kita harap bajet kali ini ia akan dapat merangkumi semua aspek dan memberi manfaat ekoran keadaan ekonomi sekarang yang agak menghimpit ekoran kesan ekonomi seluruh dunia yang tidak stabil," ujar beliau.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun itu, negara kini sedang terhimpit dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan beliau yakin Mohd Najib yang juga merupakan Menteri Kewangan mampu menangani masalah berkenaan dengan baik.


Bagi Exco Luar Bandar Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Tajudin Abdullah, beliau pula mengharapkan agar Bajet 2017 memberi penekanan yang khusus kepada pembangunan di kawasan luar bandar yang masih jelas jurang pembangunan berbanding di bandar.

Jelas beliau, pelbagai program harus dijalankan pihak kerajaan bagi meningkatkan pendapatan penduduk di kawasan luar bandar bagi memperbaiki tahap sosio-ekonomi orang kampung selain melaksanakan projek-projek pembangunan di kawasan tersebut.

"Saya memikirkan tentang kesejahteraan rakyat di kawasan luar bandar. Di Kedah ini misalnya masih banyak lagi kawasan luar bandar yang dahagakan pembangunan.

"Paling utama, saya harap Bajet 2017 akan menjadi pemangkin kepada program-program yang meningkatkan pendapatan penduduk kampung. Insentif, skim-skim dan bantuan-bantuan yang perlu untuk membantu mereka meningkatkan tahap sosio-ekonomi mereka.

"Saya tidak meminta sesuatu yang tidak realistik seperti pembangkang. Namun saya yakin Dato' Seri Najib akan memberikan sesuatu yang bermanfaat  kepada kami orang-orang kampung di luar bandar ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dato' Suraya Yaakob pula mengharapkan agar Bajet 2017 yang bakal dibentang esok akan memberi berita baik bagi seluruh rakyat Malaysia, khususnya di negeri Kedah.

"Saya harapkan Dato' Seri Najib membentangkan bajet yang bersifat mesra rakyat, dan saya yakin, beliau akan umumkan yang terbaik buat kita semua esok," katanya kepada Kedahnews.com ketika dihubungi, hari ini.

Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan bakal membentang Bajet 2017 di Dewan Rakyat bermula kira-kira jam 4 petang esok dan menjadi tumpuan seluruh negara yang menantikan berita baik untuk semua lapisan masyarakat di negara ini. -Kedahnews.com