Bajet 2017: MADA Mohon RM25 Juta Naik Taraf Kawasan

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berharap kerajaan meluluskan permohonan sebanyak RM25 juta dalam Bajet 2017 termasuk RM5 juta bagi menaik taraf ban di kawasan MADA yang terjejas akibat fenomena air pasang besar.

Pengerusinya Datuk Othman Aziz berkata, dua kawasan utama di Kuala Kedah yang terletak di pesisiran pantai iaitu Kampung Padang Garam dan Kampung Teluk Talipon antara yang perlu diberi perhatian setelah kira-kira 10 hektar tanaman padi terjejas apabila air laut memasuki kawasan bendang baru-baru ini.

“Fenomena ini menyebabkan air laut memasuki kawasan bendang dan menjejaskan tanaman padi sedia ada. Kita telah melakukan langkah mengepam keluar air masin tersebut dan digantikan dengan air tawar bagi mengelakkan kerosakan teruk pada padi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Ibu Pejabat MADA di sini semalam yang dihadiri kira-kira 400 pelajar anak petani MADA sekitar Kedah dan Perlis.

Katanya peruntukan tersebut amat diperlukan bagi membolehkan ban sedia ada di kawasan tersebut termasuk di Kuala Sanglang ke Yan dinaik taraf bagi mengurangkan kesan fenomena tersebut kepada petani pada masa depan.

Katanya walaupun soal hakisan pantai berada di bawah bidang tugas Jabatan Pengairan dan Saliran dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, namun permohonan disuarakan beliau adalah untuk ban yang berada di dalam kawasan MADA.

Beliau berkata peruntukan RM20 juta pula diperlukan bagi menaik taraf sistem pengairan dan saliran di 4,127 hektar kawasan pinggiran MADA yang baru diambil alih termasuk bagi kerja pembersihan kawasan perparitan dan naik taraf jalan-jalan ladang.

Katanya pihaknya telah mengemukakan permohonan tersebut kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Kewangan untuk pertimbangan segera.

Othman yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata walaupun tekanan ekonomi global ketika ini menjejaskan pendapatan negara namun hasil daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilihat mampu menampung lompang yang wujud.

“Kita yakin Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) akan beri tumpuan pada golongan berpendapatan rendah dalam bajet akan datang,” katanya dan berharap agar semua bentuk subsidi dan insentif kepada petani dapat dikekalkan dalam Bajet 2017. – BERNAMA