Bajet 2017: Nelayan Kedah Puji Keputusan Kerajaan Sebagai Tepat


ALOR SETAR – Keputusan kerajaan untuk meneruskan elaun kepada golongan nelayan antara RM200 hingga RM300 sebulan dilihat sebagai tindakan yang tepat bagi meringankan bebanan yang ditanggung golongan nelayan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Kedah (NEKAD) Ahmad Rudin Hussain berkata keputusan yang dibuat kerajaan itu dilihat sebagai langkah tepat terutama sekali ketika ekonomi negara yang tidak menentu sekarang.

“Dengan keadaan ekonomi sekarang, elaun itu dapat membantu golongan nelayan untuk meneruskan kehidupan harian.

Keadaan cuaca yang tidak menentu juga sedikit sebanyak menjejaskan hasil pendapatan nelayan namun dengan adanya elaun ini, ia dapat membantu dan ini menunjukkan kerajaan prihatin dan memahami nasib golongan nelayan,” katanya kepada pemberita, semalam.

Sementara itu, Khairul Asril Hashim, 36, yang merupakan seorang nelayan lebih 20 tahun di Kuala Muda berkata dia gembira dengan pengumuman yang dibentangkan dalam Bajet 2017 yang mana elaun yang diberikan itu dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung nelayan terutamanya apabila berdepan bencana seperti fenomena air pasang besar baru-baru ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2017, memaklumkan elaun antara RM200 hingga RM300 sebulan akan diteruskan kepada golongan nelayan. – BERNAMA