"Bajet Mereka Hanya Bajet Syok Sendiri.."


KUALA LUMPUR  - Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad menyifatkan Belanjawan Alternatif Malaysia 2017 yang diumum pembangkang semalam sebagai bajet 'syok sendiri'.

Pada pandangannya, belanjawan tersebut dibuat secara 'suka-suka' dan tidak mempunyai tujuan serius.

"Belanjawan pembangkang hanyalah Belanjawan 'ikut rasa'. Kalau mereka jadi kerajaan pun mereka tidak akan laksanakan belanjawan yang mereka sendiri bentangkan," katanya kepada media di pekarangan Dewan Rakyat, Parlimen, di sini, semalam.

Pakatan Harapan semalam, membentangkan Belanjawan Alternatif Malaysia 2017 bertemakan 'Pakatan Harapan Menentukan Masa Hadapan'.

Pembentangan  dipengerusikan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Bilik Jawatankuasa 2, di Parlimen.

Menjelaskan mengenai perinci intipati belanjawaan itu, Wan Azizah berkata,Belanjawan Pakatan Harapan 2017 didasari dengan 11 dasar cadangan.

Sementara itu, tambah Noraini, bajet tersebut hanyalah sebuah pembentangan yang bertujuan meraih simpati dan sokongan masyarakat di negara ini.

"Mereka mahu tunjukkan mereka mampu mengurangkan perbelanjaan itu dan ini. Hakikatnya, mereka buat bajet hanya untuk seronok-seronok sahaja.

"Lagi satu, dari mana mereka dapatkan dana untuk melaksanakan rancangan-rancangan mereka dalam bajet tersebut?" soalnya.

Sumber: Sinar Harian