#Bajet2017: Skim Baru Untuk Syarikat, Kurang Cukai Berperingkat


KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mewujudkan skim baru untuk syarikat mulai tahun depan bagi memberikan pengurangan kadar cukai secara berperingkat.

Skim tersebut bakal dilaksanakan khusus bagi tahun taksiran tahun 2017 dan 2018, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menerusi skim baharu ini, beliau berkata syarikat dengan peratus kenaikan pendapatan bercukai antara lima dan bawah 10 peratus, akan menikmati pengurangan cukai pendapatan sebanyak satu mata peratus.

“Peratus kenaikan pendapatan bercukai antara 10 dan bawah 15 peratus pula sebanyak dua mata peratus, peratus kenaikan pendapatan bercukai antara 15 dan bawah 20 peratus sebanyak tiga mata peratus, dan peratus kenaikan pendapatan bercukai 20 peratus sebanyak empat mata peratus,” katanya.

Skim ini diwujudkan bertujuan membantu mengurangkan kos perniagaan dan menggalakkan perniagaan berusaha dengan lebih gigih untuk meningkatkan pendapatan bercukai, terutama dalam keadaan ekonomi global semasa yang mencabar. – BERNAMA