Baju Kuning, Baju Merah Tak Bertembung Di Dataran Zero


SUNGAI PETANI - Himpunan baju kuning dan merah di Dataran Zero, pagi semalam tidak bertembung dan ia berlangsung secara aman tanpa sebarang provokasi antara kedua-dua kumpulan itu.

Seramai 30 peserta yang menyertai Konvoi Bersih 5 berbaju kuning menuntut lima perkara iaitu pilihan raya bersih, kerajaan yang bersih, mengukuhkan demokrasi berparlimen, hak membantah serta memperkasakan Sabah dan Sarawak.

Kumpulan Bersih beredar kemudiannya beredar sebelum tibanya kumpulan berbaju merah melibatkan hampir 100 Pemuda Umno Bahagian Sungai Petani pada jam 8.30 pagi.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Sungai Petani, Mohd Effendi Masyum  berkata, pemuda Umno menunjukkan sikap ‘anti- protes’ terhadap himpunan Bersih.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa juga turun padang meninjau keadaan himpunan berkenaan.

Menurutnya, himpunan membabitkan dua kumpulan berlangsung dalam keadaan terkawal dengan peserta beransur meninggalkan lokasi perhimpunan.

“Polis akan meneruskan kawalan di kawasan terlibat sehingga kesemua peserta bersurai sepenuhnya,” katanya.

Md Zukir berkata, besar kemungkinan polis akan melakukan siasatan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana penganjur difahamkan tidak memberikan notis awal mengenai perhimpunan itu kepada pihak polis.

“Pihak polis telah mengenal pasti individu yang terlibat dan akan memanggil mereka untuk diambil keterangan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian