Hsiao Leung (duduk, kanan) menunjukkan risalah Bersih 5 pada sidang media |
ALOR SETAR – PKR Kedah mengecam tindakan sekumpulan pemuda yang mengenakan baju merah dengan sengaja melakukan provokasi terhadap konvoi Bersih 5 di beberapa lokasi sekitar utara, baru-baru ini.
Timbalan Pengerusinya, Gooi Hsiao Leung berkata, kebiadaban kumpulan itu yang menggunakan kekasaran sebagai usaha menghalang pergerakan konvoi adalah sangat memalukan.
Menurutnya, perbuatan ini juga telah menghalang hak rakyat untuk berdemokrasi.
“Saya mengecam cara mereka datang untuk provokasi konvoi Bersih 5 di merata tempat, khusus di Teluk Intan, Perak.
"Mereka secara ganas menghalang pergerakan konvoi dan menggunakan kekerasan untuk merampas bendera serta menumbuk peserta konvoi.
“Kalau mereka (baju merah) nak berhimpun dan membantah, itu adalah hak mereka. Tapi janganlah datang ke tempat sama dengan sengaja nak menghentikan pergerakan Bersih 5,” katanya kepada media, semalam.
Menurutnya, insiden itu menunjukkan kerajaan seolah-olah tidak menghormati hak rakyat untuk berhimpun dengan aman dengan menggunakan pelbagai cara untuk menghalang.
“Semua cara digunakan daripada undang-undang untuk mengganggu gerakan Bersih 5, menggunakan mahkamah untuk menuduh orang-orang yang mempunyai hak untuk bersuara.
"Sekarang mereka mengamalkan cara politik 'ganas' pula seperti baju merah untuk ganggu konvoi Bersih 5," katanya.
Ahli Parlimen Alor Setar turut menzahirkan rasa kecewa terhadap pihak berkuasa yang gagal memastikan perhimpunan Bersih 5 berjalan lancar dan aman tanpa gangguan.
“Sepatutnya pihak berkuasa kawal keadaan dan jangan benarkan mereka (baju merah) dekati konvoi Bersih 5.
"Tetapi apa yang berlaku apabila baju merah ini boleh bertemu depan dan melakukan provokasi terhadap konvoi Bersih 5.
“Dalam hal ini, saya menyeru pihak berkuasa bertindak secara profesional untuk memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.
"Ini demi menegakkan hak rakyat untuk berdemokrasi secara aman,” katanya.
Hsiao Leung turut mengharapkan supaya semua rakyat dapat bersama-sama menyatakan sokongan terhadap Bersih 5 bagi membantah isu-isu yang dihadapi negara.
Katanya, ini termasuk bantahan cadangan persempadanan kawasan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta skandal-skandal melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Tarikh akhir untuk kami membuat bantahan kepada SPR adalah pada 14 Oktober. Kita akan buka satu kaunter nanti di ceramah penerangan Bersih 5 dan menjemput pengundi-pengundi untuk daftar sebagai pembantah.
“Memang kita akan menolong Bersih 5 dan membuat bantahan secara rasmi.
"Saya berharap orang ramai turut akan bersama dengan kita dalam membantah isu yang kita bangkitkan selama ini.
"Kita akan lihat bagaimana maklum balas itu sebelum dibuat tindakan mahkamah terhadap SPR bagi menghentikan cadangan persempadanan kawasan diteruskan," katanya.
Sumber: Sinar Harian