Hayati kini mendapatkan rawatan di Hospital Kulim setelah cedera akibat perbuatan diragut. |
KULIM - Hasrat seorang bakal pengantin meraikan hari bahagianya pada 29 Oktober ini tak kesampaian apabila menjadi mangsa ragut pada 17 Oktober lalu.
Mangsa Nur Hayati Saiden, 24, dari Kampung Sentosa, Padang Serai diragut di Jalan Kilang Lama, Lunas kira-kira jam 3 petang ketika dalam perjalanan untuk mengeluarkan duit di bank.
Menurut ibunya, Rosidah Awang, 50, anak kedua daripada empat beradik itu telah pulang ke kampung untuk melakukan persiapan perkahwinannya.
“Petang itu, dia keluar sendirian dengan menunggang motosikal kakaknya. Saya ada pesan supaya hati-hati kerana sekarang dalam darah manis banyak dugaan.
“Selalunya Hayati akan menggalas begnya itu jika menunggang motosikal, tapi entah macam mana pada hari kejadian, dia letak di dalam raga motosikal,” katanya ketika ditemui di Hospital Kulim, semalam.
Menurut Hayati, katanya, suspek telah menghampiri dia dan menolak bahunya sehingga menyebabkan dia hilang kawalan sebelum terjatuh di atas jalan selepas mencapai beg di dalam raga motosikal.
“Kaki kiri dan tangan kanan Hayati mengalami kecederaan dan perlu dilakukan pembedahan manakala bahagian mukanya juga berparut akibat cermin mata yang dipakai pecah,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, majlis perkahwinan anak keduanya itu akan diteruskan dalam suasana sederhana memandangkan persiapan telah dilakukan.
“Kami terpaksa teruskan kerana bayaran katering makanan telah dibayar.
"Saya cuma doakan ia berjalan lancar walaupun keadaan Hayati begini dan kemungkinan tak dapat bersanding seperti yang dirancang,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Abdullah Arshad telah mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.
Sumber: Sinar Harian