Belia Terbabit Penagihan Dadah Di Perlis Meningkat

KANGAR – Pembabitan golongan belia dalam penagihan dadah di Perlis mencatatkan peningkatan ketara, kata Pengarah Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) negeri Abdul Rahman Hamid.

Beliau berkata bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, sebanyak 1,171 Orang Kena Pengawasan (OKP) bagi penagihan dadah di Perlis adalah golongan belia berumur antara 18 hingga 39 tahun.

“Jumlah itu atau kira-kira 82 peratus daripada 1,430 OKP yang direkodkan oleh AADK Perlis dari Januari hingga 31 Ogos tahun ini.

“Jumlah OKP belia itu meningkat mendadak berbanding hanya 563 OKP belia yang didaftarkan tahun lepas,” katanya pada sidang media pada program Perangi Dadah Habis-Habisan (PDH) di Pangsapuri Seri Sena, di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata peningkatan golongan belia dengan najis dadah kerana mereka menjadi sasaran pengedar dadah berikutan kuasa membeli golongan itu bertambah tinggi.

Katanya kawasan panas yang menjadi tumpuan AADK di Kangar ialah Kampung Sentua, Kampung Surau, Kampung Gunung Medan, Kampung Ujong Bukit, Kampung Syed Omar, Taman Jeliti, Taman Bunga Padi, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Tok Kuning, Kampung Telok Jambu, Kampung Padang Katong dan Pangsapuri Wang Ulu. – BERNAMA