Berita Buruk: Kedah Terpaksa Lupakan Ariff Farhan Hingga Akhir Musim Ini

PASUKAN pilihan yang diramal bakal melangkah ke final Piala Malaysia, Kedah terpaksa melupakan khidmat pemain mudanya, Muhammad Ariff Farhan Mohd Isa sehingga akhir musim ini selepas tonggak pertahanan itu disahkan mengalami kecederaan ligamen lutut (ACL).

Perkara itu disahkan oleh Ketua Jurulatih skuad hijau kuning, Tan Cheng Hoe ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Muhammad Ariff Farhan diusung keluar dari padang akibat kecederaan ketika membantu skuadnya menang 2-1 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia, Jumaat lalu.

Berikutan itu, Kedah membawa masuk Azmeer Yusof bagi menggalas tugas yang ditinggal pemain berusia 20 tahun.

Cheng Hoe memberitahu, ketiadaan Muhammad Ariff Farhan sehingga akhir musim ini pasti akan dirasai namun Azmeer akan diberi tanggungjawab untuk memperkukuhkan benteng Kedah.

"Ketiadaan Ariff memang akan dirasai oleh pasukan Kedah tetapi penggantinya, Azmeer mampu mengalas tugas itu dengan baik setelah membuktikan kemampuannya ketika beraksi di posisi tersebut sepanjang musim ini.

"Azmeer terpaksa berada di bangku simpanan kerana dia juga mengalami kecederaan, tetapi keadaannya baik, cuma perlu perbaiki kelemahan yang ada dan menaikkan semula tahap keyakinan.

"Ketika dimasukkan bagi menggantikan tempat Arif pada perlawanan Jumaat lalu, Azmeer beraksi dengan baik untuk mengecewakan penyerang lawan dan saya yakin kita mampu melalui baki musim ini dengan kemampuan sebenar pasukan Kedah.

"Bang Seung Hwan yang menglami kecederaan pada bahagian kakinya ketika beraksi pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia bertemu Negeri Sembilan di Alor Setar kini sudah bertambah pulih dan dia juga akan dapat membantu kita," katanya.

Cheng Hoe berkata, Kedah akan berdepan perlawanan ujian menentang Pulau Pinang pada Jumaat ini di Stadium Bandaraya dan kesempatan itu akan digunakan sebaik mungkin untuk membaiki kelemahan yang ada.

"Kesemua pemain perlu beraksi dengan kemampuan sebenar mereka kerana inilah peluang untuk meletakkan diri mereka dalam kesebelasan utama untuk baki perlawanan musim ini.

"Perlawanan ini juga merupakan ujian sebelum pemain dibawa ke Melaka untuk mempertahankan kemenangan yang telah dicapai pada Jumaat lalu," jelasnya.

Sumber: mStar