Bersih 5: Bishop Katolik Senada Pakatan, Berlawanan Pendirian Mufti Dan PAS


ALOR SETAR - Senada dengan Pakatan Harapan dan beberapa pemimpin parti politik pembangkang, Bishop Kristian Katolik, Bernard Paul menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya turun ke jalan raya berhimpun di himpunan Bersih 5 pada November ini.

Bernard dalam kenyataannya menegaskan bahawa himpunan tersebut merupakan hak bagi setiap rakyat di negara ini untuk mengadakan himpunan jalanan itu yang dikhuatiri bakal mencetus budaya "Arab Spring" di ibu negara.

"Bising (tanda protes) merupakan satu perkara yang normal. Saya tidak kisah jika digelar sebagai 'bodoh'," kata Bernard yang sebelum ini pernah menyertai himpunan Bersih 4, tahun lalu.

Bernard turut menyelar pemimpin Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan, yang sebelum ini menggesa Bishop Katolik itu supaya lebih memberi tumpuan tentang hal ehwal agama Kristian berbanding campur tangan dalam hal ehwal politik.

"Beritahu dia (Huan) supaya jadi lebih matang," katanya, memetik laporan FMT.

Pandangan Bishop Katolik itu bagaimana pun bertentangan dengan pandangan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad pada Ogos tahun lalu yang menegaskan bahawa Islam mengajar umatnya mentaati undang-undang dan pemerintah, bukannya melakukan provokasi dan mewujudkan suasana tidak aman kepada masyarakat sekeliling sebagai tanda protes.

“Oleh itu, pihak berkuasa wajib dan mempunyai hak menghalang sesuatu perkara yang hanya mencetuskan kekacauan seperti mana yang dijelaskan mengikut dasar hukum ‘saddu zariah’ iaitu mencegah sesuatu yang dijangka menimbulkan huru-hara.

"Pihak yang melaksanakan undang-undang perlu bertindak tegas dan ia bertepatan dengan syarak kerana tindakan itu bertujuan bagi mengelak berlakunya perkara buruk. Dalam Islam juga telah diingatkan supaya memberi keutamaan dalam mengelak perkara buruk berbanding hendak mencapai satu-satu maslahah," tegas beliau sebelum ini.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria turut senada dengan Mohamad Shukri dan mengharamkan umat Islam di negara ini menyertai himpunan Bersih 4.0, tahun lepas.

"Apakah maksud dan tujuan penganjur mengadakan perhimpunan Bersih yang hanya bertujuan membuat huru-hara. Umat Islam perlu menghindarkan diri daripada terjebak dengan budaya memfitnah sama ada terhadap masyarakat mahupun mana-mana pemimpin," katanya.

Selain itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini turut menegaskan bahawa PAS tidak akan menyertai Bersih 5.0 kerana ada objektif himpunan jalalan itu yang disifatkan tidak lagi seiring dengan pendirian partinya.

Walau dijelaskan matlamat Bersih 5.0 tidak sehaluan dengan PAS, namun Ahli Parlimen (PAS) Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berikrar akan menyertai himpunan tersebut.

Sementara itu, para pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang sebelum ini menyelar dan mengecam penganjuran himpunan Bersih turut membuat "pusingan U", menyatakan komitmen akan menyertai himpunan berkenaan. -Kedahnews.com