Bersih 5 Bukan "Arab Spring", Mat Sabu Bidas Abdul Hadi


SHAH ALAM - Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu menegaskan siri himpunan aman Bersih 5 yang bakal dianjur bukan lanjutan daripada Arab Spring.

Menegaskan keduanya adalah himpunan yang berbeza, Mohamad berkata, demonstrasi di negara ini berlangsung dalam keadaan aman dan tenteram.

"Demonstrasi aman telah diamalkan di Tanah Melayu sejak dari sebelum merdeka, semasa Melaya sehinggalah selepas pembentukan negara.

"Berbagai pihak, parti-parti politik, NGO, sering mengadakan himpunan aman, tunjuk perasaan untuk menyatakan hasrat dan inspirasi mereka," katanya dalam kenyataan, semalam.

Katanya lagi, mereka yang memberi dakwaan sedemikian hanya menjadikannya sebagai alasan untuk tidak menyertai himpunan Bersih 5 kali ini.

"Tuntutan Bersih yang dikemukakan berjalan dengan aman walaupun beberapa orang yang kemudiannya didakwa di mahkamah termasuklah saya sendiri.

"Himpunan ini diikuti dengan himpunan Bersih 2, kemudian Himpunan Kebangkitan Rakyat dan seterusnya Bersih 4. Himpunan rakyat untuk menuntut keadilan terutama kebersihan dalam pilihan raya bermula lebih awal. Tidak ada kena mengena dengan Arab Spring yang berlaku dalam tahun 2011," katanya lagi.

Sumber: Sinar Harian