ALOR SETAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di negeri Kedah enggan ambil pusing tentang penyertaan ahli atau penyokongnya untuk menyertai himpunan Bersih 5, sebaliknya memberi fokus untuk mendapatkan seramai ahli baru menyertai parti baru itu.
Ketua Pendaftar Keahlian PPBM Negeri Kedah, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut dan meminta supaya menghubungi urussetia PPBM di peringkat pusat tentang himpunan tersebut.
"Saya tak terlibat yang itu, saya tak buat yang itu. Saya jaga hal ehwal lain.
"Yang tu kena check dengan KL, saya tak terlibat.. Tak, tak.. Kedah tak terlibat setahu saya, cuba check dengan KL," jelasnya tentang keterlibatan PPBM Kedah ke himpunan Bersih 5 yang dijangka bakal diadakan pada 19 November ini.
Sementara itu, usaha untuk menghubungi pihak PPBM di Kuala Lumpur masih gagal hingga laporan ini diterbitkan.
Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengesahkan beliau akan hadir ke himpunan Bersih 5, namun Pengerusi Bersih, Maria Chin menetapkan syarat sebelum bekas Perdana Menteri itu menyertai himpunan tersebut.
Maria dalam kenyataannya mahu Mahathir bersetuju tentang pembaharuan institusi dan pilihanraya yang bersih dan adil, barulah beliau dibenarkan untuk menyertai Bersih 5 dan berkemungkinan diberi peluang berucap di himpunan berkenaan.
Mahathir sebelum ini hadir ke himpunan Bersih 4, sekaligus mencetus kontroversi ekoran bekas Perdana Menteri itu pernah mengkritik keras siri-siri himpunan Bersih sebagai tidak demokrasi, huru-hara, memalukan dan menjejaskan kestabilan pentadbiran serta reputasi negara.
Bagaimanapun, pendirian Mahathir terhadap penganjuran demonstrasi jalanan itu berubah sejak mula mengkritik Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, berpandukan isu meragukan yang dicetus media asing, Sarawak Report, milik Claire Rewcastle Brown. -Kedahnews.com