ALOR SETAR - Setelah empat tahun membiarkan saja himpunan demi himpunan yang mencemarkan jalan-jalan raya di sekitar ibu negara, kini Bersih bertemu "buku dengan ruas" apabila mereka menerima tentangan dari Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Hafiz Syed Mustafa berkata, sistem demokrasi di negara ini tidak menggunapakai cara demonstrasi jalanan yang sering dijadikan amalan kumpulan Bersih, yang pada hakikatnya "mengotorkan" kestabilan politik di Malaysia.
"Sudah 4 kali kami bersabar dengan kerenah buruk mereka mengganggu ketenteraman awam. Dulu reformasi, sekarang Bersih pula buat onar berkali-kali. Bertemu buku dengan ruas bila Pemuda UMNO hari ini bangkit bagi menghalang aktiviti yang mengancam keharmonian hidup rakyat.
"Kita bukan tentang mereka. Kita tentang apa yang mereka bawa. Cara mereka tidak kena dengan budaya rakyat Malaysia. Baju Merah di Kedah langsung tak jentik mereka sedikit pun. Kami berkonfrontasi menentang cara beradab, bertamadun.
"Kini Pemuda Bangkit, kita juga membawa mesej secara aman kepada pembangkang. Tak payahlah anjur sesuatu yang membawa budaya negatif, jangan cuba ajar rakyat ikut perangai buruk mereka.
"Demokrasi bukanlah dengan melakukan demontrasi jalanan. Demokrasi hakikatnya adalah terletak pada jari jemari rakyat yang memangkah kertas undi, memilih sama ada Barisan Nasional (BN) atau pembangkang," jelasnya tentang kumpulan Baju Merah yang berlangsung di negeri Kedah.
Dalam pada itu, Syed Hafiz menyeru pihak pembangkang supaya berani berubah menjadi pembangkang yang sihat di negara ini sebagaimana langkah diambil PAS kini yang menggunakan pendekatan membantah melalui kaedah yang betul dan aman.
"Nak bantah, bantahlah. PAS makin berubah sekarang, saya lihat PAS sedang berusaha menjadi pembangkang yang sihat, tak tahulah pada masa depan bagaimana. Tapi pembangkang lain patutnya tiru keberanian PAS mengubah diri sekarang," katanya lagi.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddun Hassan sebelum ini memaklumkan kepada media bahawa PAS tidak akan menyertai himpunan Bersih 5 ekoran penganjuran demonstrasi jalanan itu yang dilihat tidak sehaluan dengan pendirian PAS.
Syed Hafiz bersama kira-kira 250 ahli Pergerakan Pemuda UMNO Kedah baru-baru ini berbaju merah berhimpun di Alor Setar "mengejar" konvoi Bersih 5 yang singgah di ibu negeri tersebut bagi menyampaikan mesej bantahan pada himpunan tersebut.
Bersih 5 dijangka bakal diadakan di ibu negara pada 19 November ini turut disokong oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang mana kedua beranak itu menentang keras himpunan-himpunan Baju Kuning yang dianjurkan sebelum ini. -Kedahnews.com