Biodata Ringkas Dan Pesanan Dr Fauziah Untuk Kita Semua...

SUSULAN penahanannya dan 12 lagi aktivis wanita Women’s Boat To Gaza, satu-satunya wakil tunggal Malaysia, Dr. Fauziah Mohd Hasan meninggalkan pesanan untuk semua pihak.

Beliau menyeru dunia termasuk pemimpin menggunakan segala pengaruh dan kekuatan bagi membantu pembebasan mereka.

Menerusi video berdurasi satu minit 26 saat itu, Dr Fauziah berharap beliau dan rakan-rakan dapat dibebaskan dengan segera daripada tahanan rejim Israel yang menahan kapal dinaiki mereka, kapal Zaytouna-Oliva pada jam 8.50 malam, Rabu.

Sementara itu, menerusi sesi sidang media, Pengerusi MyCare, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor mengesahkan kesemua 13 anak kapal tersebut berada dalam keadaan selamat walaupun ditahan secara haram.


Berikut di bawah pula adalah biodata ringkas Dr Fauziah;

Beliau dilahirkan di Kuala Terengganu pada tahun 1957 dan menerima ijazah MBBS daripada University of Tasmania, Australia pada tahun 1982.

Beliau telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak dan enam orang cucu.

Beliau merupakan Fellow Royal College of Obstetrics and Gynaecology (United Kingdom) sejak tahun 2003 dan berkhidmat sebagai doktor pakar di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur sejak tahun 1997.

Dr Fauziah sangat aktif dalam aktiviti kemanusiaan, bermula sebagai Bendahari Persatuan Medical Relief Malaysia (MERCY Malaysia) (2000-2006) dan mengambil bahagian dalam misi untuk Kosovo (1999), Maluku Indonesia (2000), Afghanistan (2001, 2002,2003), Aceh (2005), Pakistan (2005) dan Gaza (2009).

Beliau kemudian aktif dalam Aqsa Syarif, NGO kemanusiaan Malaysia yang memperjuangkan isu-isu Palestin.

Pada tahun 2015, Aqsa Syarif telah dikendalikan di bawah Humanitarian Care Malaysia Berhad (729288-P) (MyCare), sebuah organisasi kemanusiaan melangkaui sempadan Palestin.

Beliau adalah Timbalan Pengerusi Aqsa Syarif dari tahun 2010 dan kini ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCare.

Selain itu, Dr Fauziah erupakan Penasihat Rose2Rose (R2R), satu lagi agensi dibawah MyCare yang mempunyai fokus memperkasakan wanita dan kanak-kanak. -Kedahnews.com