Buku Teks Oxford Dakwa Palestin "Pengganas" Buat Saudi Kecoh


RIYADH – Dua kementerian bertelagah susulan kontroversi buku teks untuk kegunaan murid di sekolah antarabangsa di seluruh Arab Saudi menyatakan rakyat Palestin sebagai pengganas.

Kementerian Penerangan dan Kebudayaan serta Kementerian Pendidikan masing-masing menafikan mereka bertanggungjawab untuk pengisian kandungan buku teks terbabit yang turut mencetuskan kemarahan rakyat.

Meskipun buku teks berkenaan telah pun diarah untuk ditarik balik minggu lalu, namun pertikaian antara dua kementerian itu masih lagi berterusan selain ada mendakwa ia dirancang pihak asing yang memusuhi Arab Saudi.

Dalam pada itu, Kementerian Penerangan dan Kebudayaan menjelaskan, pihaknya tiada peranan dalam melakukan semakan kandungan buku teks sama ada untuk kegunaan pelajar di sekolah awam atau sekolah antarabangsa.

Ia susulan kenyataan Kementerian Pendidikan yang berkata bahawa semua buku teks untuk sekolah antarabangsa dibawa dari luar negara perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan Kementerian Penerangan dan Kebudayaan.

Bagaimanapun Kementerian Penerangan dan Kebudayaan dalam reaksi balas pula menyatakan pemantauan buku teks termasuk di semua sekolah swasta dan sekolah antarabangsa adalah di bawah Kementerian Pendidikan.

“Peraturan import buku teks sekolah memang di bawah kementerian ini tetapi urusan semakan kandungan pula adalah tugas Kementerian Pendidikan,” kata jurucakap Kementerian Penerangan dan Kebudayaan, Anas Al-Quseir.


Beliau merujuk Artikel 21 Undang-undang Penerbitan dan Percetakan yang diwartakan menerusi dekri diraja menyatakan pemantauan Kementerian Penerangan dan Kebudayaan tidak meliputi buku teks institusi pendidikan.

Malah ujar Anas, tugas kementerian itu terhad dalam urusan pentadbiran kemasukan buku asing termasuk untuk kegunaan sekolah antarabangsa dan mereka tidak campur tangan dalam aspek kandungan bahan bacaan tersebut.

Turut sependapat ialah Presiden Jawatankuasa Pendidikan Swasta, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Saudi, Othman Al-Qassabi apabila menyatakan isu buku teks adalah bidang kuasa pihak Kementerian Pendidikan sendiri.

“Kementerian Penerangan dan Kebudayaan tidak boleh mengganggu proses pendidikan di negara kita kerana hanya Kementerian Pendidikan ada kuasa dalam membuat penilaian sesuatu kandungan bahan bacaan sekolah,” katanya.

Othman memberitahu akhbar The Arab News, peraturan itu bukan isu baharu waima semua buku teks di Arab Saudi tertakluk kepada dasar ketat mengenai hal ehwal agama dan politik domestik. – Agensi