Bunga Tahi Ayam, Serai Wangi, Lidah Buaya Bantu Halau Nyamuk


KUALA LUMPUR - Tumbuh-tumbuhan seperti Bunga Tahi Ayam, Serai Wangi, Lidah Buaya dan Tongkat Ali boleh digunakan untuk menghalau nyamuk dalam usaha mencegah demam denggi dan jangkitan virus Zika.

Kementerian Kesihatan (KKM) juga menamakan lima tumbuhan lain yang turut mempunyai fungsi sama iaitu Akar Wangi, Bunga Selasih,'floramaster', Mahogani atau Mambu dan Jeremin.

"KKM menyarankan agar masyarakat dan Pihak Berkuasa Tempatan menggunakan kaedah lain untuk mencegah demam denggi dan jangkitan Zika sebagai tambahan kepada aktiviti kawalan sedia ada.

"Antaranya dengan menggunakan beberapa tumbuhan yang berfungsi sebagai penghalau nyamuk yang boleh ditanam di kawasan perumahan," kata KKM dalam kenyataannya di Facebook.

Beberapa kajian oleh Zaridah et.al (2005) di Kepong, Ferreira et.al (2011)di London, Pattanayak et.al (2015) dan Satpute et.al (2015) di India mendapati tumbuhan itu juga boleh menghalau serangga lain.

Menurut KKM sepanjang minggu ke-40 tahun ini iaitu dari 2 hingga 8 Okt lepas, sebanyak 1,550 kes demam denggi dilaporkan yang menurun 151 kes berbanding minggu ke-39 yang mencatatkan 1,701 kes.

Pada minggu ke-40 itu, empat kematian akibat demam denggi dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 190 berbanding 261 kematian bagi tempoh sama pada tahun lepas. -Bernama