Soalan:
Saya mempunyai sijil Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan semasa mahu membeli sebuah rumah telah mencagarkan sijil saham itu kepada sebuah bank (sebagai overdraf) dan mendapat wang sebanyak RM300,000.
Adakah saya perlu mengeluarkan zakat ke atas jumlah sijil ASB (yang saya cagarkan) itu, memandangkan saya juga masih perlu membayar ansuran bulanan kepada pihak bank yang memberikan saya overdraf berkenaan. Mohon pencerahan?
Jawapan:
Mengenai overdraf, apakah itu overdraf? Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah, ‘overdraf ialah, 1. Pengambilan wang dari bank yang melebihi simpanan di bank; 2. Jumlah wang dikeluarkan dari bank yang melebihi simpanan.’
Ertinya di sini, pihak tuan telah membuat suatu pinjaman daripada pihak bank berkenaan, kerana wang yang tuan peroleh hakikatnya melebihi jumlah yang sepatutnya. Pinjaman ini dalam erti kata lain, adalah hutang.
Maka, apakah hukumnya ke atas wang hutang yang tuan peroleh tersebut? Adakah ia masih wajib dizakatkan? Maka jawabnya, masih perlu mengeluarkan zakat ke atas wang berkenaan. Ini kerana, ia sama dengan hutang yang tuan lakukan daripada pihak-pihak lain.
Hutang itu, memberikan tuan kemampuan menguasai wang yang diperoleh, maka wajiblah zakat ke atasnya.
Apakah makna kemampuan menguasainya? Ia bermaksud, di sisi wang itu sudah tiada sebarang halangan untuk menggunakannya, mengikut sekehendak hati. Cuma dalam konteks ini, tuan menggunakannya untuk membeli sebuah rumah.
Namun, jika diikutkan bebas melakukan apa sahaja dengan wang berkenaan, tanpa dapat dihalang.
Kemampuan menggunakan wang tanpa halangan inilah yang disebutkan sebagai hak at-tasarruf (hak kepenggunaan tanpa batasan) di dalam istilah fikah, yang mana ia datang dalam bentuk milikan sempurna (milk at-tam). Maka, wajiblah ia dizakatkan. Apatah lagi ia juga sudah cukup syarat kerana telah melebihi nisab.
Manakala dari segi haul (genap setahun dimiliki), sudah pun dijelaskan sebelum ini di ruangan Bicara Zakat bahawa harta perolehan (al-mal al-mustafad) itu tidak perlu dikenakan syarat haul ke atasnya (sesuai dengan pandangan yang dikeluarkan oleh fuqaha seperti Umar bin Abdul Aziz r.a dan sebagainya).
Maka, oleh kerana tiada persyaratan haul, semasa tuan memperolehnya itu sudah datanglah status wajib untuk dikeluarkan zakat ke atasnya sebanyak 2.5 peratus, tanpa perlu menunggu setahun kemudian.
Bagaimana pula status sijil ASB tuan? Adakah pihak tuan masih berhak mencairkannya (menukarkannya kepada wang) pada bila-bila masa untuk kegunaan sendiri? Jika ia masih boleh dicairkan pada bila-bila masa, iaitu ada kemampuan ‘menebus’ kembali sijil berkenaan, maka semua sijil itu juga masih ada milikan sempurna dan wajiblah dizakatkan.
Namun, kerana ia dicagarkan demi mendapatkan wang dan membeli rumah, maka pastilah tuan tiada sumber kewangan lain untuk menebus kembali, dan selama mana dalam tempoh
tuan tidak mampu menebusnya, maka hilanglah sifat milikan sempurna ke atasnya dan tidaklah diwajibkan zakat ke atasnya.
Mengenai kewajipan tuan membayar secara ansuran setiap bulan kepada pihak bank, maka itu tidaklah boleh dijadikan halangan bagi mengeluarkan zakat.
HUTANG MENGHALANG BERZAKAT?
Mungkin ada orang berkata, bukankah hutang menghalangi seseorang daripada zakat? Betul, di dalam kitab-kitab fikah memang disebutkan, bahawa hutang menghalangi kekayaan seseorang sehingga menyebabkan dia tidak wajib berzakat, sehinggalah langsai hutangnya terlebih dahulu.
Namun, suka saya nyatakan bahawa hutang yang disebutkan sebagai menghalangi kekayaan itu ialah hutang-hutang yang sifatnya perlu atau wajib segera dilunaskan pada tempoh terdekat atau pada tahun semasa itu.
Sehingga dengan sebab itu, seseorang yang mempunyai harta (contohnya wang) perlu terlebih dahulu menolak hutang berkenaan daripada jumlah hartanya.
Maka, setelah ditolak sehingga menyebabkan baki hartanya jatuh di bawah nisab, maka itulah hutang yang menghalangi dirinya daripada menunaikan zakat.
Manakala pada aspek lain, ada hutang yang tidak pula menjadikan pemiutang itu terhalang dirinya daripada menikmati kekayaan.
Ini kerana, hutang yang dilakukannya biar pun berjumlah ratusan malahan jutaan ringgit, telah pun distrukturkan sesuai dengan kemampuan kewangannya, sehingga tidak sedikit pun menjejaskan kekayaannya.
Misalnya A meminjam RM100,000 dari sebuah bank dalam bentuk pinjaman peribadi, maka hutang itu biar pun sangat besar tetapi telah disusun sehingga pembayarannya menjadi panjang, dan tidak membebankan. Malah, ia turut dijamin oleh takaful, sehingga jika berlaku kes kematian, hutang yang berbaki akan dilunaskan oleh pihak takaful.
Maka dalam konteks hutang seperti ini, ia langsung tidak menyebabkan si peminjam menyusut kekayaannya. Malah, ada kes semakin besar hutang, semakin bertambah jumlah asetnya, misalnya dalam konteks hutang untuk perniagaan. Maka, sudah pastilah hutang seperti ini tidak sedikit pun menghalangi kekayaan atas si pembuat hutang.
Oleh itu, A masih wajib melunasi zakat wang simpanannya (atau zakat-zakat yang lain) jika sudah ada segala syarat wajibnya, tanpa perlu khuatir status hutangnya yang belum selesai.
Kes ini samalah dengan kes tuan yang mana, tuan juga mempunyai komitmen menjelaskan kembali segala hutang overdraf yang tuan lakukan berkenaan, namun hutang itu tidaklah sampai menjadikan tuan hilang sifat kekayaan yang tuan nikmati.
Maka, wajiblah tuan lunaskan zakat atas harta tuan yang sudah mencukupi syarat wajib zakat, dan mudah-mudahan dengan itu, akan bertambah subur baki harta yang dimiliki.
Sumber: Utusan