Cemburu, Penganggur Belasah Lelaki Jumpa Kekasihnya Di Kg Alor Belut


ALOR SETAR - Akibat cemburu, seorang penganggur membelasah seorang lelaki menggunakan senjata tajam kerana berjumpa teman wanita yang baru dikenalinya tiga bulan dalam kejadian awal pagi Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC Mohd Nashir Ya berkata, kejadian kira-kira pukul 2.50 pagi di hadapan sebuah rumah di Kampung Alor Belut dekat sini, menyebabkan mangsa berusia 25 tahun itu luka di pipi dan bahagian atas mata kanannya.

"Hasil tindakan pantas polis, seorang lelaki Melayu berumur 29 tahun berasal dari Alor Setar telah ditahan awal pagi semalam dan kini ditahan reman," katanya menerusi kenyataan di sini, Sabtu.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata. - Bernama