Cimpanzi Di Zoo Johor Ketagih Coca Cola

JOHOR BARU - Walaupun pengunjung zoo dilarang memberi makanan dan minuman kepada haiwan di situ, seorang pelawat yang 'termakan' pujukan seekor cimpanzi telah menghulurkan sebotol minuman ringan.

Seorang pesara yang dikenali sebagai Tan berkata, ketika dia sekeluarga berjalan di kawasan zoo tersebut, ada seekor daripada tiga cimpanzi sedang menghulurkan tangan kepada pelawat.

“Seorang pelawat memberikan botol minuman kepada cimpanzi itu, dan dia terus menikmatinya. Namun ia bukan kali pertama kejadian ini berlaku, kerana saya nampak beberapa botol lain ada di dalam sangkar cimpanzi tersebut,” jelasnya.

Walaupun terhibur dengan telatah cimpanzi itu, ia merupakan tindakan  salah lebih-lebih lagi pihak zoo sudah meletakkan tanda amaran.

Sementara itu, Pengurus Zoo di sini, Zakaria Razali berkata, pelawat yang tidak bertanggungjawab terutama  pelancong selalu melontar botol, makanan dan batu ke dalam sangkar.

“Kami tidak menerima pelawat mabuk masuk ke kawasan zoo kerana terdapat beberapa kes haiwan tercedera akibat terkena barangan yang dibaling,” katanya.

Lingkungan umur cimpanzi di Zoo Johor adalah antara 10 dan 30 tahun.

“Selalunya, pelawat yang melemparkan botol kerana ingin melihat haiwan ini beraksi,” jelasnya sambil menambah, selain cimpanzi, kejadian sama juga berlaku kepada buaya, harimau dan singa.

Sumber: mStar