TIDAK ramai mengetahui di luar sana wujud sejenis dadah baharu, Flakka atau alpha-Pyrrolidinopentiophenone yang mendatangkan bahaya umat manusia.
Dikenali sebagai Flakka atau ‘dadah zombie’, Flakka yang kini telah merebak di beberapa negara besar telah mencetuskan huru hara di kalangan kehidupan masyarakat di sana.
Memetik daripada video yang dikongsikan oleh pengguna media sosial, dadah ini boleh membuat penagihnya memberi tindak balas agresif yang luar biasa.
Kebanyakan penagih akan meronta, menjerit, malah turut mencederakan diri sendiri ketika dadah ini ‘merasuk’ dan mempengaruhi mereka.
Malah terdapat kes di mana seorang penagih dadah Flakka merempuh kereta yang sedang bergerak, menyebabkan kecederaan kepada dirinya sendiri dan pemandu di dalam kenderaan tersebut.
Penagih dadah zombie ini juga mempunyai kecenderungan untuk mencederakan orang di sekelilingnya.
Kebanyakan daripada mereka akan hilang kawalan diri dan menyerang individu yang paling hampir dengannya.
Menurut pandangan Ahli Epidemiologi dan Penyalahgunaan Dadah di Nova Southeastern University, Fort Lauderdale, Florida, Jim Hall, dadah sintetik ini telah diharamkan sejak 2012 kerana dosnya yang terlalu susah untuk dikawal dan ditentukan.
“Terlalu susah untuk menentukan dos dadah Flakka yang sebenar. Hanya dengan sedikit perbezaan dalam dos yang menentukan sama ada pengguna dadah ini boleh khayal atau mati.
“Jika pengguna mengambil dos berlebihan dari kadar sebenar, pengguna dadah jenis ini hilang kawalan diri dan bertukar menjadi agresif,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan menyeluruh CNN.com ke atas dadah berbahaya ini.
Menurut Hall lagi, suhu tubuh badan pengguna atau penagih dadah Flakka ini akan meningkat kepada 105 darjah celsius, selain menyebabkan mereka mengalami paranoia yang teruk.
Menurut Hall lagi, kesan ke atas penagih dadah jenis Flakka ini tidak akan hilang dan kebiasaannya akan berkekalan, biarpun pengguna tidak lagi mengambil dadah tersebut.
Penggunaan dadah ini secara berterusan akan menyebabkan kerosakan teruk pada buah pinggang dan otot.
Sumber: Sinar Harian