Dakwaan Gambar Mahathir, Mukhriz "Dibuang" Disahkan Tidak Benar

Gambar terbaru yang dikirimkan kepada Kedahnews.com, hari ini.
ALOR SETAR - Dakwaan pihak tertentu yang mendakwa kononnya gambar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir "dibuang" dari dinding di Pejabat UMNO Bahagian Langkawi disahkan tidak benar.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Langkawi, Ahmad Marzuki Shari'at, semua gambar-gambar tersebut sebenarnya diturunkan untuk dibersihkan, ditukar bingkai gambar dan menukar gambar baru pemimpin-pemimpin terbabit, termasuk Mahathir dan Mukhriz.

"Semua gambar-gambar tu diturunkan untuk dibersihkan, tukar 'frame' gambar.. dan jika ada gambar baru, ia ditukar kepada yang barulah," jelasnya ketika dihubungi Kedahnews.com.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Langkawi, Ahmad Marzuki Shari'at
Mengulas lanjut, Ahmad Marzuki mengesyaki kemungkinan ada pihak tertentu yang sengaja menurunkan gambar Mahathir dan Mukhriz dari di dinding hanya semata-mata untuk dirakam gambar, seolah-olah UMNO Bahagian itu sengaja "buang" gambar dua bekas pemimpin UMNO itu.

"Saya syak mungkin adalah orang yang nak buat cerita, depa turunkan gambar tu sekejap, rakam gambar, letak balik gambar tu di dinding. Kemudian sebar cerita UMNO Langkawi buang gambar Tun M dan Mukhriz," katanya.

Jelas beliau lagi, gambar Mahathir dan Mukhriz masih terpamer di dindang berkenaan hingga kini, sekaligus menafikan pembohongan pihak-pihak berkepentingan tersebut.

Sebelum ini, beberapa laman sosial yang taksub pada Mahathir dan Mukhriz menyiarkan dua keping gambar "kehilangan" gambar dua pemimpin itu menyebabkan ramai penyokong dua beranak itu "mengamuk sakan" di Facebook.

Dakwaan pihak tertentu sebelum ini.
Yang terbaru, setelah dibersihkan
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Dato' Ir Nawawi Ahmad menegaskan bahawa beliau tidak tahu menahu tentang dakwaan "gambar hilang" dan tiada sebarang arahan untuk menurunkan gambar Mahathir dan Mukhriz.

“Saya tak perasan pula gambar mereka diturunkan sebab saya belum masuk pejabat (Umno). Mungkin mereka nak cuci tempat itu dan turunkan gambar itu sementara.

“Saya akan periksa perkara ini, tapi memang tak ada arahan yang meminta supaya gambar Tun Mahathir dan Mukhriz diturunkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. -Kedahnews.com