DAP Musuh Islam, PAN Fitnah Dalam Tubuh Umat Islam - Nik Abduh


KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengingatkan seluruh umat Islam negara ini bahawa DAP adalah musuh agama Allah S.W.T.

Kata beliau, sekutu kuat DAP dalam Pakatan Harapan, Parti Amanah Negara (PAN) yang diasaskan oleh beberapa bekas pemimpin PAS yang berpaling tadah pula adalah fitnah dalam tubuh umat Islam.

"InsyaAllah, musuh Islam akan tumbang dan fitnah akan lebur di bumi Malaysia bertuah ini.

"DAP adalah musuh Islam. PAN adalah fitnah dalam tubuh umat Islam," tegasnya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau baru-baru ini.

Terdahulu, Nik Mohamad Abduh berkata, beberapa siri dialog bersama masyarakat non muslim anjuran PAS menunjukkan mereka berpuas hati dengan usaha untuk memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah.

"Beberapa siri dialog bersama masyarakat non muslim anjuran PAS melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menunjukkan bahawa mereka begitu berpuas hati dengan usaha PAS menyeru kepada pemerkasaan Mahkamah Syariah melalui RUU pindaan Akta 355.

"Nyata dan jelas, kekeliruan mereka adalah berpunca daripada maklumat-maklumat bohong dan palsu yang mereka terima lebih awal daripada DAP dan PAN," tulis anak bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu.


Bagaimanapun, ujarnya, bukan Islam yang menolak usaha tersebut terkeliru berhubung perkara itu disebabkan maklumat-maklumat bohong dan palsu yang mereka terima daripada DAP dan PAN.

Selain DAP dan PAN, Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan parti yang bergabung dalam Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan ditubuhkan bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang dibubarkan pada tahun lalu.

Pakatan Rakyat dibubarkan bagi menyingkirkan PAS daripada gabungan parti pembangkang kerana enggan berkompromi dalam beberapa isu akidah Islam yang dikhuatiri boleh menjejaskan sokongan bukan Islam. –Kedahnews.com