Datuk Vida Berdepan 32 Pertuduhan Akta GST 2014


IPOH – Jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 32 pertuduhan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut selepas dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pemilik dan pengasas Vida Beauty Sdn. Bhd. itu didakwa gagal mengemukakan penyata dan gagal membayar cukai GST membabitkan jumlah kira-kira RM4.2 juta sejak April 2015 hingga Julai 2016.

Mahkamah menetapkan wang jaminan berjumlah RM1.76 juta bagi kesemua pertuduhan manakala pasport serta dokumen perjalanan milik tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga prosiding perbicaraan selesai.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala tertuduh diwakili peguam Khairilazwar Khalil dan Syed Ahmad Syed Abas.

Vida tiba di kompleks mahkamah Ipoh kira-kira pukul 9 pagi, manakala prosiding hanya bermula 12.15 tengah hari sebelum ditangguhkan kira-kira pukul 2 petang. Sebutan semula kes pada 15 November ini. – BERNAMA